Rabu, 29 Januari 2020 | 11:59pm
Ismail Ziada keluar dari Mahkamah Belanda di The Hague selepas mahkamah mengatakan ia tidak mempunyai bidang kuasa dalam kes yang dibawa terhadap ahli politik Israel oleh Ziada yang kehilangan enam saudara dalam serangan udara Israel pada tahun 2014. - Foto AFP

Mahkamah Belanda tiada bidang kuasa dakwa ahli politik Israel

THE HAGUE: Mahkamah Belanda tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendakwa ahli politik Israel, Benny Gantz berhubung kes dikemuka seorang lelaki yang kematian enam ahli keluarga dalam serangan udara rejim Zionis pada 2014.

Mahkamah daerah The Hague memaklumkan, di bawah undang-undang antarabangsa, pihaknya tidak boleh mendengar kes dikemukakan Ismail ZIada yang menamakan Gantz dan bekas Ketua Tentera Udara Israel, Amir Eshal sebagai bertanggungjawab dalam serangan itu.

“Mahkamah daerah sudah memutuskan bahawa ia tidak kompeten untuk mendengar kes berkenaan kerana bekas pegawai Israel itu dilindungi imuniti.

“Imuniti ini konsep sah di bawah undang-undang antarabangsa. Termaktub di bawah tindakan yang dilaksanakan atas nama tugasan awam.

“Serangan udara di Semenanjung Gaza yang mengorbankan enam ahli keluarga pengadu, contoh tindakan yang dibuat atas nama tugasan awam,” kata Hakim Larisa Alwin.

Ismail, rakyat Palestin-Belanda mengemuka kes terhadap Gantz selepas serangan udara Israel di Gaza pada 2014, mengorbankan ibu, tiga adik, kakak ipar dan seorang anak saudaranya.

Ketika serangan itu, Gantz ialah Ketua Pasukan Pertahanan Israel (IDF). - AFP

Berita Harian X