Sabtu, 21 March 2020 | 9:13pm

COVID-19: Perkembangan terkini global

PARIS: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengatakan bahawa Wuhan, pusat asal wabak COVID-19 merebak di China, melaporkan tidak ada kes harian baharu untuk pertama kalinya, memberi "harapan" ke seluruh dunia.

Ketua WHO juga memperingatkan golongan muda bahawa mereka "tidak kebal" terhadap pandemik itu.

  

Makmal Switzerland, Novartis menawarkan untuk menyediakan sehingga 130 juta dos ubat anti-malaria, chloroquine yang dianggap sebagai rawatan yang berpotensi berkesan untuk COVID-19.

Eksekutif industri farmaseutikal mengatakan mereka menjangkakan ia akan mengambil masa 12 hingga 18 bulan untuk melancarkan vaksin dan bersama berikrar untuk menjadikannya tersedia di seluruh dunia berdasarkan keperluan.

   

Lebih satu perempat daripada sejuta kes COVID-19 telah direkodkan, dengan 11,129 kematian, menurut data AFP yang disusun pada 1900 GMT pada hari Jumaat berdasarkan sumber rasmi.

Terdapat sekurang-kurangnya 258,930 jangkitan yang dilaporkan di 163 negara dan wilayah.

Itali paling banyak mencatatkan kematian, 4,032, daripada 47,021 kes, dengan 627 kematian dalam tempoh 24 jam yang lalu.

China mencatatkan 80,976 kes, termasuk 3,248 kematian dan 71,150 pulih.

Negara yang paling teruk selepas itu ialah Iran dengan 1,433 kematian, Sepanyol dengan 1,002 kematian, Perancis 450 kematian.

Tunisia dan Argentina mengisytiharkan langkah sekatan pergerakan di seluruh negara.

Austria melanjutkan langkah sekatan sekatan pergerakan hingga 13 April.

California diletakkan di bawah perintah berkurung, sementara gabenor New York memerintahkan perniagaan yang tidak penting supaya ditutup dan mengharamkan semua perhimpunan.

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, berkata tidak ada keperluan untuk perintah berkurung nasional.

Bavaria, negeri terbesar di Jerman dan Sarre mengenakan perintah berkurung.

Jordan akan mengenakan perintah berkurung dari hari Sabtu.

Britain memerintahkan penutupan pub, restoran, pawagam, gimnasium dan teater.

Malaysia akan mengerahkan tentera untuk membantu polis supaya orang ramai mematuhi sekatan pergerakan.

Sempadan Amerika Syarikat (AS)-Mexico akan ditutup untuk perjalanan yang tidak penting, berikutan langkah yang sama untuk sempadan AS-Kanada.

Washington menangguhkan penyerahan semua visa biasa untuk negara-negara di seluruh dunia.

Belgium menutup sempadannya untuk semua kecuali untuk barang dan pengembara dianggap sebagai perniagaan penting.

Bolivia menutup sempadan darat dan udara

Suruhanjaya Eropah menangguhkan peraturan disiplin belanjawan Kesatuan Eropah, yang membolehkan negara-negara anggota berbelanja sebanyak mungkin untuk melawan kesan ekonomi akibat COVID-19.

Kerajaan British berkata, ia akan membantu menampung gaji mereka yang dilanda wabak terbabit.

Kira-kira 300 juta kanak-kanak yang bergantung kepada program makanan sekolah terjejas akibat penutupan yang dicetuskan oleh pandemik, kata Program Makanan Dunia.

Syarikat penerbangan British, easyJet berkata ia akan menghentikan penerbangan sebahagian besar pesawatnya mulai 24 Mac.

Syarikat penerbangan kedua terbesar di Amerika Latin, Avianca, menangguhkan penerbangan antarabangsanya dan meletakkan 5,000 pekerjanya dalam keadaan cuti tanpa gaji. - AFP

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X