Sabtu, 4 April 2020 | 3:39pm
Gambar fail, Pengarah Urusan IMF, Kristalina Georgieva.
Gambar fail, Pengarah Urusan IMF, Kristalina Georgieva.

COVID-19: Menyelamat nyawa adalah "prasyarat"

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menegaskan bahawa menyelamat nyawa adalah "prasyarat" untuk menyelamatkan kehidupan pada masa akan datang ketika berdepan wabak COVID-19 ini.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus dan Pengarah Urusan IMF, Kristalina Georgieva, berkata untuk memastikan virus itu berada di bawah kawalan adalah sangat perlu bagi menghidupkan semula aktiviti ekonomi, walaupun mengakui ia agak sukar untuk diseimbangkan.

Ekonomi dunia terkesan teruk akibat COVID-19 dengan lebih separuh populasi penduduk di dunia ini terpaksa duduk di rumah bagi membendung penyebaran pandemik, yang mana hingga kini ia sudah membunuh lebih 50,000 orang, manakala lebih sejuta sudah diuji positif untuk virus itu.

"Apabila dunia bertindak balas kepada COVID-19, setiap negara kini menghadapi keperluan untuk membendung penyebaran virus, dan kesannya kepada masyarakat dan ekonomi apabila ia turut terhenti," kata Tedros dan Georgieva.

Menurut mereka, dalam kebanyakan negara miskin, sistem kesihatan mereka tidak bersedia dengan serangan virus itu dan menggesa setiap negara untuk memberi keutamaan kepada perbelanjaan penjagaan kesihatan.

"Krisis kesihatan global dan nasib ekonomi global tidak dapat dipisahkan. Melawan pandemik adalah satu keperluan bagi ekonomi untuk pulih.

“Justeru kami merayu, semua pemimpin untuk mengambil langkah ke depan bagi orang yang tinggal di pasaran sedang membangun," kata mereka.

Katanya, aktiviti ekonomi merudum disebabkan oleh jangkitan dan langkah pengawalan pandemik turut mempengaruhi pekerja, syarikat dan rantaian bekalan, sementara keadaan kewangan semakin tidak stabil.

Rekod turut menunjukkan bahawa sebanyak 85 negara memohon bantuan kecemasan kewangan dari IMF dan ia terus menggandakan jumlah kapasiti kecemasan daripada AS$50 bilion (RM217.9 bilion) sehingga AS$100 bilion (RM435.8 bilion).

Kapasiti jumlah pinjaman IMF adalah AS$1 trillion (RM4.3 trilion).

Sementara itu, WHO berkata pihaknya boleh membantu dalam penyelarasan dengan memudahkan perjanjian pembelian awal untuk bekalan perubatan yang penting.

"Apabila kita bekerjasama dalam situasi masa dan sumber yang terhad, adalah sangat penting untuk fokus kepada keperluan untuk menyelamatkan nyawa dan kehidupan," kata mereka. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X