Ahad, 5 April 2020 | 3:32pm

COVID-19: Polis sahkan 27 orang dipercayai hilang feri dibadai ribut

HONIARA (KEPULAUAN SOLOMON): Polis Kepulauan Solomon hari ini mengesahkan 27 orang dipercayai hilang apabila feri dinaiki mereka dibadai ribut selepas berlayar tanpa menghiraukan amaran cuaca buruk.

Pegawai polis, Superintendan Richard Menapi, berkata pencarian yang dilakukan di lokasi terbabit bagaimanapun gagal mengesan mangsa.

Feri MV Taimahero bersama lebih 700 penumpang, meninggalkan Honiara pada malam Khamis untuk menuju ke Barat Are’are, sejauh 120 kilometer, ketika Kepulauan Solomon dibadai taufan Harold dan pihak berkuasa mengeluarkan amaran cuaca buruk.

Pelayaran itu adalah sebahagian daripada program pemindahan penduduk oleh kerajaan susulan pandemik COVID-19. Kepulauan Solomon ialah salah sebuah daripada beberapa negara yang tidak mempunyai kes COVID-19 dilaporkan, setakat ini.

Feri terbabit bagaimanapun dipukul ombak besar sebelum subuh kelmarin, dan pihak berkuasa mengambil masa lebih 24 jam untuk menentukan jumlah mangsa.

“Ada 738 penumpang, termasuk kru dan kapten kapal tetapi selepas kiraan dibuat, sejumlah 27 mangsa disahkan hilang dan 711 lagi terselamat, termasuk kru.

“Sebaik saja tiba di kawasan pencarian, kita dapat melihat banyak serpihan terapung, namun tiada tanda mangsa yang hilang,” kata Menapi.

Taufan tropika Harold dijangka melanda Vanuatu, lewat hari ini, dengan pihak berkuasa Vanuatu memberi amaran angin kencang hingga mencecah kelajuan 165 kilometer sejam, laut bergelora dan berbahaya untuk sebarang aktiviti di laut. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X