Isnin, 6 April 2020 | 6:06pm
Kapal persiaran Ruby Princess berlabuh di Port Kembla untuk mengisi minyak dan mengambil stok makanan. - Foto AFP
Kapal persiaran Ruby Princess berlabuh di Port Kembla untuk mengisi minyak dan mengambil stok makanan. - Foto AFP

Kapal Ruby Princess berlabuh sementara di Australia

PORT KEMBLA: Kapal persiaran Ruby Princess yang menjadi punca 25 peratus daripada jumlah kematian keseluruhan COVID-19 di Australia, hari ini dibenarkan berlabuh dekat Sydney selepas 200 anak kapal mula menunjukkan gejala wabak itu.

Kapal itu berlabuh di Port Kembla, kira-kira 80 kilometer di selatan Sydney selepas berminggu-minggu terkandas di laut, bagi membolehkan doktor memeriksa anak kapal yang sakit dan membawa pesakit kritikal bagi mendapatkan rawatan.

Bulan lalu, kerajaan membenarkan 2,700 penumpang turun daripada kapal milik Carnival Australia dan kembali ke rumah mereka, walaupun larangan kapal persiaran berlabuh di negara itu diumumkan beberapa hari sebelumnya.

Beratus-ratus penumpangnya kemudian disahkan positif COVID-19 dengan sekurang-kurangnya 10 kematian akibat penularan wabak berkenaan.

Menurut polis New South Wales, kapal itu dibenarkan berlabuh di situ selama 10 hari untuk mendapatkan stok dan mengisi minyak sebelum meninggalkan perairan Australia, tetapi anak kapal tidak dibenarkan turun kecuali bagi kes kecemasan.

“Kapal itu berlabuh dengan mengikuti panduan kesihatan dan bio-keselamatan yang ketat supaya ia tidak membahayakan pekerja di pelabuhan dan masyarakat setempat,” katanya dalam satu kenyataan.

Beberapa orang anak kapal yang menunjukkan gejala penyakit serius itu sudah dibawa ke hospital sejak beberapa hari lalu.

Setakat ini, Australia merekodkan hampir 6,000 kes positif COVID-19 dengan 40 kematian. – AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X