Sabtu, 9 Mei 2020 | 4:43pm
Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC).
Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC).

AS veto undian PBB bagi gencatan senjata ketika pandemik COVID19

PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB): Amerika Syarikat (AS) semalam menggunakan kuasa vetonya bagi menghalang undian Majlis Keselamatan PBB (UNSC) mengenai resolusi gencatan senjata semasa pandemik COVID-19.

Tentangan terhadap resolusi bagi mengisytiharkan gencatan senjata di kawasan dilanda konflik di seluruh dunia supaya tumpuan penuh boleh diberi terhadap membendung penularan virus itu mengejutkan anggota UNSC lain.

Lebih membingungkan, tindakan itu dilakukan sehari selepas AS bersetuju dengan teks gencatan senjata itu, menurut seorang perunding yang enggan dikenali.

Menurut pernyataan perwakilan AS kepada 14 lagi anggota UNSC yang sudah hampir dua bulan mengadakan rundingan sukar, Washington tidak dapat menyokong deraf itu sekarang tanpa perincian lebih lanjut.

Tindakan terbaru AS menyebabkan badan yang bertanggungjawab terhadap keamanan dan keselamatan global itu terkedu dalam menghadapi ancaman virus terburuk abad ini, terutama di negara yang paling teruk terjejas.

Ketika diminta memberikan penjelasan berhubung tindakan AS itu, pegawai Jabatan Negara memberitahu AFP bahawa China 'berulang kali menghalang tolak ansur bagi membolehkan UNSC bergerak ke hadapan'.

Katanya lagi, penjelasan mengenai peranan Pertubuhan Kesihatan Senunia (WHO) dalam deraf resolusi itu turut menjadi punca AS menggunakan kuasa vetonya.

"Pada pandangan kami, UNSC sepatutnya hanya menumpukan kepada resolusi menyokong gencatan senjata atau memperluaskan resolusi bagi menangani keperluan memperbaharui komitmen negara anggota terhadap ketelusan dan tanggungjawab menangani COVID-19," katanya.

Tindakan AS menghalang resolusi gencatan senjata itu membolehkan penaja resolusi terbabit, Perancis dan Tunisia, melakukan undian.

Berdasarkan versi terbaru resolusi itu yang diperoleh AFP, ia menuntut penamatan semua bentuk keganasan di zon konflik dan 'tempoh bertenang kemanusiaan' selama 90 hari bagi membolehkan kerajaan terbabit berusaha menangani COVID-19.

Ia turut menggesa semua negara mempertingkatkan koordinasi dalam menentang virus dan menekankan keperluan untuk menyokong semua negara, entiti dalam sistem PPB termasuk agensi kesihatan pakar dan pertubuhan serantau.

Bagaimanapun, AS mengancam menggunakan kuasa veto jika WHO dirujuk dalam resolusi itu, manakala China pula mahu menggunakan kuasa veto jika badan dunia itu tidak dirujuk, namun China akhirnya mengalah.

Seorang duta mewakili negara anggota UNSC berkata, tindakan AS itu adalah berita buruk kepada UNSC dan PBB sendiri kerana bercanggah dengan konsep permuafakatan dalam kalangan negara sedunia.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, sejak 23 Mac lalu, menggesa supaya perbalahan dan keganasan di serata dunia dihentikan sehingga pandemik COVID-19 global dapat ditangani terutama di negara dilanda peperangan atau konflik. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X