Rabu, 20 Februari 2019 | 2:58pm
PELAKON, Janna Nick, pada sesi taklimat DFKL 2019 di Balai Berita. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Hubungan Janna, Sheila retak?

KUALA LUMPUR: “Saya hanya akan mengulas sekiranya pihak sebelah sana membuat kenyataan. Jadi, sebaik-baiknya dapatkan (dahulu) kenyataan mereka. Saya juga tiada apa-apa komen berkaitan hubungan kami.”

Demikian ulasan ringkas pelakon, Janna Nick, 23, ketika ditanya mengenai hubungannya bersama penerbit yang juga pelakon terkenal, Sheila Rusly.

Bintang Syurga Nur itu berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2019 di Balai Berita, Bangsar, di sini.

Keakraban dua artis terbabit sememangnya diketahui umum sejak beberapa tahun lalu, berikutan kerjasama yang terjalin antara mereka dalam bidang seni.

Begitupun, ramai pemerhati dunia hiburan membuat andaian kedua-duanya tidak lagi akrab apabila Sheila memuat naik gambarnya mempromosikan drama bersiri, Leftenan Zana, yang turut dibintangi aktres muda terbabit.

“Kalau rasa nak tengok silakan... Mungkin tidak sehebat yang diharapkan dan tak semudah juga untuk sis (merujuk kepada dirinya selaku penerbit) menyiapkan kerana tak semua jasa akan dikenang,” tulis Sheila pada perkongsian berkenaan.

Status itu tentu sahaja pantas mengundang pelbagai spekulasi dan biarpun penerbit terbabit tidak menyebut sebarang nama, tidak kurang netizen yang mengaitkannya dengan Janna.


PERKONGSIAN Sheila di Instagram yang mencetuskan teka-teki mengenai hubungannya dengan Janna Nick. - Foto IG Sheila Rusly

Menerusi komen balasnya, Sheila memaklumkan status itu tidak memperli sesiapa dan netizen hanya membuat kesimpulan seperti mereka tahu segala-galanya.

Kini, Sheila difahamkan tidak lagi mengikuti Janna di Instagramnya, manakala pelakon muda itu masih menjadi pengikut penerbit berkenaan di laman sosial terbabit.

Janna seboleh-bolehnya tidak mahu berfikir mengenai perkara itu, sebaliknya teruja untuk mempromosikan drama yang mula menemui penonton TV3 pada 8 Februari lalu seperti biasa.


DUTA DFKL 2019, Janna Nick dan Izzue Islam. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

“Saya hormati produksi JS Pictures (milik Sheila dan suaminya, Jinggo). Saya banyak terhutang budi dengan mereka. Saya anggap mereka sebagai orang yang terhormat,” katanya yang turut dilantik sebagai duta DFKL 2019 bersama Izzue Islam.

Berita Harian X