Selasa, 14 Mei 2019 | 2:00pm
PENYANYI dan pelakon, Aliff Aziz. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Aliff Aziz buat hal lagi?

KUALA LUMPUR: Kontroversi aksi di pusat hiburan dengan aktres berstatus ibu tunggal baharu sahaja reda, kini Aliff Aziz, 28, didakwa buat hal lagi.

Terbaru, pelakon dan penyanyi kelahiran Singapura itu bagai mengulang episod kecurangan lalu, namun bersama ‘bintang’ berbeza.

Sejak malam tadi, tular foto lelaki yang dipercayai Aliff tanpa berbaju di sebuah ruang tertutup bersama seorang gadis muda bertatu dan bertindik.

Selain gambar, satu rakaman video ‘live Instagram’ seakan-akan sedutan asal foto viral itu turut dikongsi seseorang di laman maya.

Beberapa paparan membabitkan gambar dan video yang menunjukkan wajahnya bersama gadis dikenali sebagai Nismelll itu turut menyusul di platform sama, selepas itu.

Malah, komunikasi secara maya antara individu terbabit dengan isteri Aliff, Bella Astillah, merujuk situasi membabitkan mereka turut disertakan untuk tatapan netizen.

Susulan perkongsian panas itu, ruangan komen di Instagram @aliffaziz91 menjadi sasaran netizen apabila rata-rata menempelak sikap lelaki berkenaan.

“Aliff Kantoi (Edisi Ramadan), Curang lagi ke tu bang? Bersama lagi kita dalam rancangan Aliff Aziz Dah Curang Ke Belum: Episod 4” antara sindiran tajam yang ditinggalkan orang ramai di ruangan komen.

Bahkan, netizen turut melepaskan geram mereka pada lelaki itu pada perkongsian terbarunya, tiga hari lalu, ketika berkunjung ke sebuah klinik gigi.

Ironinya, artis terbabit baharu sahaja membuka ruangan komen, minggu lalu, selepas dua bulan menutupnya gara-gara dikecam netizen berkaitan isu curang dan rumah tangga.

Menerusi gambar yang tersebar di media sosial, lelaki menyerupai Aliff itu dilihat sedang dipeluk wanita yang dikatakan teman wanita terkininya.

Menguatkan lagi dakwaan kecurangan kali ketiga artis terbabit, pengguna laman sosial sama yang mendakwa dirinya rakan kepada gadis dimaksudkan kecewa dengan sikap temannya itu.

“Nismelll, takkanlah dengan laki orang pun kau nak? Tak kasihan ke dengan anak bini dia, malulah sikit, kau nak jadi apa? Semoga Allah memberi balasan kepada kau,” tulisnya menerusi Instastory.

Terdahulu, selain dengan pelakon baharu dan gadis bertindik itu, Aliff turut terpalit kontroversi pada Julai 2017 dengan adik Anzalna Nasir, Afifah.

Bagaimanapun, isterinya memaafkan perbuatan Aliff hingga kejadian terbaru membabitkan pula Oktovia Manrose, sekitar Februari lalu.

Aliff dan Bella mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016 dan dikurniakan seorang putera, Ayden, yang kini berusia dua tahun.

Berita Harian X