Rabu, 15 Mei 2019 | 6:00pm
PELAKON, Aliff Aziz, kembali terkait dengan kontroversi apabila gambar lelaki mirip dirinya bersama seorang gadis tersebar. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Kontroversi Aliff: Gambar terbaru cetus tanda tanya

KUALA LUMPUR: Bagai drama rantaian, kontroversi membabitkan Aliff Aziz dengan seorang gadis seakan-akan memasuki episod kemuncak apabila tersebar sekeping lagi gambar panas di laman sosial.

Menerusi foto yang tular sejak malam tadi, individu dikenali sebagai Nismell itu kelihatan memakai pakaian dalam rona hitam sedang dicium jejaka yang tidak kelihatan wajahnya.

Begitupun, pihak yang berkongsi gambar terbabit mendakwa, lelaki tanpa baju yang hanya dapat dilihat sebelah mukanya itu adalah penyanyi dan pelakon kelahiran Singapura terbabit.

Individu dipercayai rakan Nismell ‘menyerangnya’ apabila gadis terbabit dikatakan cuba menegakkan benang basah, sekali gus berkongsi foto terbaru sebagai bukti keintiman mereka.

“Kau ini tidak layak dipanggil manusia. Kawan rapat semua pertahankan kau bersungguh-sungguh yang kau kononnya difitnah.

“Kau pula beriya-iya minta maaf, sana-sini. Siapa mahu percaya kau, bodoh. Ini gambar tidur kau dengan Aliff Aziz,” katanya di Insta Story.

Tidak berdiam, Nismell yang membuat permohonan maaf terhadap isteri Aliff, Bella Astillah, semalam, kembali mempertahankan diri.

Berkongsi semula paparan Insta Story terbabit, gadis berkenaan kemudian menegaskan semua itu fitnah kerana jejaka dalam gambar terbabit adalah bekas kekasihnya.

Sebelum ini, Nismell mendakwa mereka tidak pernah melakukan apa-apa, tambahan pula baru mengenali Aliff pada sebuah acara tertutup.

Katanya lagi, isu tercetus hingga mengheret namanya sekali berpunca daripada kawan yang bersifat dengki.

Semalam, nama Aliff kembali hangat diperkatakan apabila didakwa curang kali ketiga selepas gambar lelaki mirip dirinya berswafoto sambil tidak berbaju bersama seorang gadis berpakaian seksi tular.

Selain foto panas berkenaan, beberapa jam selepas itu tersebar pula rakaman video ‘live’ Instagram menunjukkan dirinya dengan gadis sama.

Difahamkan, gambar intim hasil rakaman gadis itu sendiri disebarkan seseorang yang dikenalinya berikutan perselisihan faham mengenai hutang.

Terdahulu, Aliff terpalit kontroversi pada Julai 2017 dengan adik Anzalna Nasir, Afifah. Bagaimanapun, isterinya memaafkan perbuatan itu hingga kejadian membabitkan pelakon baharu, Oktovia Manrose, sekitar Februari lalu.

Aliff dan Bella mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016 dan dikurniakan seorang putera, Mohamad Ayden Adrean, yang kini berusia dua tahun.

Hingga kini, Aliff dilihat tidak mengendahkan kontroversi berkenaan mahupun pendedahan Bella yang nekad mahu meneruskan hidup tanpanya.

Berita Harian X