Khamis, 30 Mei 2019 | 1:54pm
SHARIFAH Zuriehan mendakwa kemelut rumah tangganya dengan Fikree berakhir apabila mereka berpisah, hari ini. Foto IG Sharifah Zuriehan

Cef Fikree, Sharifah Zuriehan bercerai?

KUALA LUMPUR: Kemelut rumah tangga cef selebriti dan pelakon, Fikree Aznan sampai kemuncaknya apabila isterinya, Sharifah Zuriehan Syed Ahmad Kamal mendakwa, sudah diceraikan, hari ini.

Menerusi pengakuan yang dikongsinya di Instagram, Sharifah Zuriehan mendakwa, mereka berpisah secara baik.

“Alhamdulillah, dia sudah melepaskan saya dengan cara baik. Jadi, saya akan privasikan akaun Instagram dan padam semua entri yang tidak elok.

“Saya hanya mahu dapatkan perhatiannya dan sekarang saya sudah mendapatnya. Terima kasih atas doa dan kata sokongan mereka yang prihatin,” katanya.

Pasangan itu mula berkenalan pada 2006, seterusnya bertunang pada 2014. Setahun selepas itu, mereka mendirikan rumah tangga dan dikurniakan anak lelaki, Jayden Malik, yang kini berusia dua tahun.

Cubaan BH Online mendapatkan kenyataan pelakon drama Ajak Oh Ijal itu tidak berjaya apabila dia tidak membalas mesej WhatsApp, walaupun sudah membacanya.

Kisah sensasi itu mula diperkatakan ramai, kelmarin apabila Sharifah Zuriehan membuat pendedahan mengejutkan apabila mendakwa Fikree curang dengan wanita berstatus isteri orang.

Menerusi akaun @zuriehanbenyahya, Sharifah Zuriehan turut mendakwa, pelakon itu pernah berbalas mesej berbaur lucah dengan seorang pengacara televisyen.

Fikree dalam kenyataan kepada sebuah portal bagaimanapun, memilih tidak memberikan komen untuk menjaga aib isteri dan keluarga.

Fikree mula dikenali selepas menjayakan program masakan Hello Bro Tolong Masak, selain menjadi pengacara rancangan Dapur Panas.

Berita Harian X