Rabu, 24 Oktober 2018 | 6:06pm
PEMANGKU Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenan menganugerahkan Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri kepada Rossa sempena Istiadat Memuliakan Ulang tahun Hari Keputeraan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah, di Pekan, hari ini. - NSTP/Muhd Asyraf Sawal

Hadiah hari lahir terindah - Datuk Seri Rossa

PEKAN: Penyanyi Indonesia, Rosa Roslaina Handiyani, 40, atau Rossa yang menerima Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) menyifatkan penganugerahan itu sebagai hadiah terindah sempena ulang tahun kelahirannya pada 9 Oktober lalu.

Penyanyi itu antara 19 penerima darjah SSAP yang membawa gelaran Datuk Seri dalam Istiadat Majlis Pengurniaan Pingat dan Darjah Kebesaran sempena Istiadat Memuliakan Ulang tahun Hari Keputeraan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah, di sini, hari ini.

Beliau berkata, penganugerahan pingat itu akan menjadi pemangkin dalam karier seninya di industri muzik serantau.

“Mungkin 2018 adalah tahun bertuah saya, bulan lalu saya menerima Anugerah Khas dalam Anugerah Planet Muzik (APM2018) dan pingat ini adalah hadiah hari lahir terbaik serta satu penghargaan yang tidak terhingga sepanjang 21 tahun berkecimpung dalam industri seni.

“Penganugerahan ini juga memberi saya tanggungjawab yang lebih besar dalam memartabatkan lagi arena muzik serantau kerana industri muzik Malaysia dan Indonesia saling mendukung antara satu sama lain ,” katanya.

Beliau berkata, buat masa ini beliau masih mempromosikan albumnya ‘A New Chapter’ dan lagu duet terbaru bersama D’Masiv, Bukan Maksudku.

Rossa berasal dari Sumedang, Indonesia mula aktif dalam bidang nyanyian pada 1995 dan menempa nama di negara ini dengan lagu-lagu seperti ‘Atas Nama Cinta’, ‘Ayat-Ayat Cinta’, ‘Hati Yang Kau Sakiti’ dan ‘Aku Bukanlah Untukmu’.

Pada istiadat itu, seramai 76 individu menerima pingat dan darjah kebesaran dalam majlis yang berlangsung di Istana Abu Bakar.

Istiadat pengurniaan darjah kebesaran itu disempurnakan Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Daripada jumlah itu, seramai 19 individu dianugerahkan Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) membawa gelaran Datuk Seri.

Turut menerima SSAP ialah Raja Puan Mahkota Perak, Raja Datuk Seri Nazhatul Shima Almarhum Sultan Idris Shah; Pengerusi PKR Pahang, Datuk Mohd Fauzi Abdul Rahman; Pengarah Kanan (Bahagian Siasatan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Simi Abdul Ghani; Presiden Transparency International Malaysia, Datuk Akhbar Satar dan Presiden Persatuan Bolasepak Myanmar, Zaw Zaw.

Bagi Darjah Sri Indera Mahkota Pahang (SIMP) membawa gelaran Datuk Indera pula, Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Kemajuan Pertanian Pahang, Datuk Wan Bakri Wan Ismail menjadi penerima tunggal anugerah itu.

Seramai lima individu pula diperkenan menerima Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) membawa gelaran Datuk, antaranya bekas Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi; Timbalan Pengerusi, Badan Amal Kebajikan Angkatan Tentera (BAKAT) Udara, Datin Seri Norainy Shahar Alam dan Timbalan Ketua Pengarah, Majlis Amanah Rakyat (MARA), Abdul Rashid Mohd Said.

Bagi Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) pula, seramai 50 individu diperkenankan menerima anugerah membawa gelaran Datuk itu termasuk Pesuruhjaya Kehakiman, Mahkamah Tinggi Seremban, Muhammad Jamil Hussin; Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan, Ismail Mohd Zawawi; Timbalan Pengarah, Pejabat Tanah dan Galian Pahang, Aida Munira Abdul Rafar dan Setiausaha Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Hamiza Hamzah.

Turut menerima DIMP ialah Pengerusi Pertubuhan Orang Asli Perihatin Malaysia, Mohd Affandy Rashid; Pengurus Projek PETRONAS Chemical Group, Ismail Ab Rahman; Komandan Maktab Teknik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bakri, Muar, Johor, Senior Asisten Komisioner (SAC) Suhaimi Ismail; Timbalan Komandan Maktab PDRM Kuala Lumpur, SAC Shafie Ismail; dan Komander Briged Sabah, Pasukan Gerakan Am (PGA), SAC Zanuddian Samsu Hadi.

Ketua Unit Drama Premium dan Filem Astro, Saniboey Mohd Ismail turut dianugerah DIMP.

Berita Harian X