Selasa, 18 Disember 2018 | 9:21pm
MENTERI Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo (tengah) bersama para penerima sijil ‘Spotlight’ pada Majlis Pelancaran Portal Malaysia Creative Industry Exchange (MCIX), di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), hari ini. - Foto BERNAMA
MENTERI Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo (tengah) bersama para penerima sijil ‘Spotlight’ pada Majlis Pelancaran Portal Malaysia Creative Industry Exchange (MCIX), di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), hari ini. - Foto BERNAMA

Hasilkan lebih banyak karya seni bertaraf global - Gobind

KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, melontarkan cabaran supaya penggiat industri seni tanah air berani menghasilkan lebih banyak karya atau kandungan tempatan bertaraf global.

Katanya, beliau yakin karya tempatan mempunyai kekuatan tersendiri kerana penonjolan identiti tempatan yang diadun dengan nilai sejagat dan kualiti pembikinan hingga berjaya menembusi ke seluruh dunia.

Katanya, filem ikonik pecah panggung seperti Munafik 2, Hantu Kak Limah, Paskal dan Polis Evo 2 misalnya berjaya membina impak tontonan luar biasa dengan mengatasi filem import.

“Justeru, kita juga tidak sekadar ingin menjadi jaguh di gelanggang sendiri, malah perlu berani membangunkan pasaran kita sebagai komoditi eksport.

“Kajian data oleh FINAS untuk 2018, hampir 90 filem pelbagai format dan genre menembusi pasaran global melalui tayangan, penyertaan atau pencalonan.

“Malah, 37 daripadanya meraih kemenangan di pesta filem antarabangsa,” katanya dalam ucapan pada Majlis Pelancaran Portal Malaysia Creative Industry Exchange (MCIX), di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi FINAS, Datuk Samsuni Mohd Nor; Pemangku Ketua Pengarah FINAS, Shakib Ahmad Shakir dan Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Yasmin Mahmood.

Menurut Gobind, filem adalah pelaburan jangka panjang dan pihaknya berbangga atas beberapa kejayaan industri filem Malaysia dalam usaha membina sebuah ‘jenama’ yang berdaya saing dan bertaraf global.

“Saya difahamkan, eksport pemasaran kandungan tempatan ke luar negara tahun ini mencapai nilai pelaburan RM101.48 juta berbanding RM82.54 juta pada 2017.

“Sementara itu, secara keseluruhan, filem tempatan merekodkan kutipan RM165.34 juta bagi 51 filem berbanding tahun lalu, hanya RM59.92 juta untuk 59 filem,” katanya.

Beliau berkata, bagi memacu industri seni kreatif, kerajaan memberi Insentif Penerbitan Filem Di Malaysia (FIMI) yang menawarkan rebat tunai 30 peratus kepada penggiat seni tempatan mahupun asing jika menjalankan penggambaran di negara ini.

“Filem tempatan yang mendapat insentif FIMI seperti Ola Bola, Polis Evo 2 dan Mrs K, manakala filem antarabangsa adalah ‘Crazy Rich Asians’ yang mengutip AS$238 juta (kira-kira RM993.4 juta) selain dicalon untuk Anugerah Golden Globes,” katanya.

Dalam pada itu, Gobind menyifatkan pelancaran portal MCIX adalah penanda aras potensi kemajuan yang akan dilaksanakan tahun depan.

Katanya, pelancaran itu amat penting dalam memacu industri kreatif negara selaras objektif kementeriannya, antara lain membangunkan ekonomi digital.

“Pelancaran MCIX sebagai hab jaringan data industri adalah manifestasi penting ‘data king’ sebagai ‘bahan api’ ekonomi digital.

“Ia berpotensi dikembangkan menjadi pentas yang akhirnya mampu menjana pendapatan sendiri pada masa depan berdasarkan jumlah pengunjung yang merujuk laman ini.

“Justeru, saya menyeru penggiat industri terutamanya presiden persatuan menyemarakkan MCIX supaya menjadi hab tumpuan mendapatkan maklumat berkaitan,” katanya.

Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan sijil ‘Spotlight’ sebagai penghargaan kepada 10 filem cereka tempatan pada peringkat global iaitu Redha, Shuttle Life, Adiwiraku, Sughammai Subbulakshmi, Thottam, The Garden, Interchange, Guang, A House of Happiness, Aqerat dan One Two Jaga yang diwakili penerbit dan pengarahnya.

Berita Harian X