Isnin, 18 March 2019 | 3:11pm
Badul ketika ditemui menjalani pemeriksaan di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, baru-baru ini. Foto NSTP Aizuddin Saad
Badul ketika ditemui menjalani pemeriksaan di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, baru-baru ini. Foto NSTP Aizuddin Saad

Eksklusif: Siri Satu Di Sebalik Tawa Raja Lawak AR Badul

KUALA LUMPUR: Dalam ratusan nama tokoh seni, siapa yang tidak kenal dengan pelawak AR Badul?

Bersama deretan filem lakonan dan arahannya yang menggunakan nama sendiri sebagai judul, tokoh ini sudah menjadi suatu jenama dalam dunia sinematik Melayu terutama genre komedi.

Karya seperti Si Badul, Guru Badul, Panglima Badol, Pak Tam Duda, Keluarga 99, Kembar Siam, Pelumba Malam dan Salah Bapak mendapat sentuhan Badul atau nama sebenarnya, Armaya Aman Ramlie, 70.

Biarpun tidak seaktif dulu dek faktor usia, namun pelawak, pelakon, penulis skrip dan pengarah ini masih gigih dalam kerja penerbitan animasi dan drama televisyen (TV).

Berkongsi pembabitan dirinya dalam arena seni, Badul memberitahu, segala-galanya bermula ketika usianya belasan tahun apabila menyertai kumpulan bangsawan kelolaan Allahyarham Kasma Booty.

Badul berkata, suami seniwati itu banyak mengajar selok belok dunia pementasan malah dianggap sebagai guru atau mentor.

Bergerak ke seluruh pelosok kampung, Badul berpeluang membuat persembahan pentas di merata tempat termasuk di Medan, Indonesia.

Akuinya, biarpun sekadar pelakon tempelan, pengalaman bersama insan terkenal ketika itu seperti Allahyarham R Azmi dan Allahyarham Ahmad Jais, membuatkan minatnya terus bercambah.

“Waktu kecil, saya tinggal di rumah Mat Sentul yang juga pengurus bangsawan tempat bapa saya, Allahyarham AR Tompel bekerja.

“Disebabkan tugas bapa yang selalu ke sana sini mengadakan persembahan, sejak darjah satu, saya tinggal dengan Mat Sentul sehingga darjah enam.

“Seorang lagi pengurus bangsawan yang juga orang kepercayaan bapa ketika itu adalah Allahyarham Karim Latiff.

“Selepas itu, saya ikut pula Allahyarham Kasma. Daripada situ, saya semakin kenal dunia bangsawan dan pusing ke merata-rata tempat,” katanya mengimbas kenangan lalu.

Selepas bergerak di pentas bangsawan, Badul dimaklumkan kekosongan jawatan sebagai penari di FELDA yang ketika itu memiliki kumpulan kesenian sendiri.

Tawaran gaji tetap yang berbaloi membuka pintu hati Badul mencuba nasib. Nyata, rezeki berpihak kepadanya.

Pada usia belasan tahun, bermulalah kerjaya seni Badul bersama FELDA. Namun, ketika itu, nama Allahyarham R Jaafar dan Allahyarham Yahya Sulong sudah dikenali ramai.

“Orang tak tahu dulu ketika bekerja dengan FELDA, saya jadi penari. Kalau ada watak tambahan, saya jadi pengawal. Jika drama moden sikit, berpeluanglah jadi pegawai polis.

“Ketika itu, seronok bekerja sebab dapat gaji bulan. Antara yang terkenal dalam kumpulan saya ketika itu adalah Mak Mah, Minah Yem, Minah Ketot, R Jaafar dan Syed Hamid.

“Saya masih ingat, ketika itu, banyak jalan masih tanah merah. Kami beramai-ramai naik bas dan kadangkala berhari-hari tinggal di kampung orang.

“Tempat tinggal dan makan semua orang kampung sediakan. Daripada jawatan di FELDA, saya belajar bermain dram dan menyanyi,” tambahnya lagi.

Cerita Badul, persahabatan dengan R Jaafar terjalin ketika mereka digandingkan dalam persembahan pentas yang sepatutnya dijayakan Jaafar dengan Yahya.

“Orang semua kenal Jaafar dan Yahya. Jadi, kiranya, dalam jelajah bergerak kami, Jaafar dan Yahya adalah bintang pujaan sedangkan saya sekadar ‘Pak Pacak’.

“Ketika itu, biarpun tidak muncul di TV, persembahan pentas di pelbagai tempat meletakkan mereka seperti bintang yang ditunggu-tunggu,” katanya.

Badul teringat insiden di mana Yahya memarahinya.

“Kebetulan terjadi suatu isu, saya beri pandangan kepada Yahya. Tetapi dia tak boleh terima dan memarahi saya.

“Disebabkan darah muda, saya ambil senduk dan pukul dirinya. Yahya akhirnya merajuk terus pulang ke Kuala Lumpur. Kejadian itu berlaku di Sabak Bernam.

“Berikutan itu, saya terpaksa mencari pengganti,” katanya.

Susulan kejadian itu, bermulalah langkah serius Badul di pentas lawak hingga membawanya muncul dalam program TV.

“Memang menakutkan kerana terpaksa menggantikan pelawak yang sudah mempunyai peminat. Mahu tak mahu, saya muncul juga dengan Jaafar sebab siapa lagi yang berani hendak menggantikannya.

“Saya cuba buat yang terbaik. Mujur pengalaman bersama kumpulan bangsawan sebelum itu banyak membantu.

“Sepanjang mengikut rombongan Kasma, saya suka tengok bintang utama berjenaka. Jadi apabila diminta menggantikan Yahya, saya terima terus. Syukur, persembahan pertama meraih tepukan.

“Daripada situ, saya dan Jaafar menjadi kawan baik. Suatu hari pada 1975, saya ajak Jaafar sertai pertandingan Bakat TV,” katanya.

Melalui program pencarian bakat itu, gandingan Badul dan Jaafar meraih perhatian penerbit TV dan filem yang mahu mengetengahkan kebolehan mereka.

“Memang ketika itu, orang tahu saya anak AR Tompel, seorang seniman yang dihormati ramai. Tapi zaman dulu susah, bukan senang dapat kepercayaan penerbit atau pengarah sebab kita anak orang popular.

“Kita kena usaha sendiri. Saya juga tidak mahu dikata menumpang tuah bapa untuk menjadi pelakon.

“Saya tak kisah bermula dari bawah pun sebab saya tahu bagaimana sukarnya untuk bapa mendapat kepercayaan orang.

“Cuma sedihnya, saya cipta nama sendiri selepas bapa pergi. Jadi, saya tak sempat berkongsi kegembiraan ini dengan bapa,” katanya dengan nada perlahan.

Berita Harian X