Khamis, 21 March 2019 | 9:33pm
Muhammad Bakhtiar (kiri), Azemi (dua kanan) melihat Ahmad Izham bermain piano sempena majlis perasmian Getaran 88 Kekunci Hati di Pustaka Peringatan P. Ramlee, Kuala Lumpur. - Foto Zulfadhli Zulkifli.

Sektor swasta dikaji ambil alih pusat budaya

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya menimbang cadangan menyerahkan pengendalian pusat budaya termasuk pustaka peringatan kepada sektor swasta sebagai strategi melonjakkan kunjungan pelancong ke premis terbabit.

Timbalan Menterinya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik, berkata pelan jangka panjang itu akan dibuka kepada mana-mana syarikat berpotensi dan efektif dalam menjana kutipan serta kedatangan pelancong.

“Pustaka Peringatan P Ramlee adalah antara gelanggang utama selain Rumah Kelahiran P Ramlee di Pulau Pinang yang dibuka khas untuk Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee dalam mengenang legasi dan sumbangannya terhadap industri perfileman Melayu.

“Pusat ini juga menjadi antara medan kebudayaan kebanggaan kita. Namun, dalam merancakkan kedatangan pengunjung, kita perlu menggandakan aktiviti sampingan sebagai daya penarik.

“Jadi, cadangan menyerahkan pengurusan pusat ini kepada syarikat konsesi adalah antara pelan jangka panjang yang diyakini mampu melipatgandakan jumlah pengunjung.

“Ini kerana sektor swasta melihat industri ini daripada segi perniagaan.

“Namun, tidak bermakna di bawah kendalian kerajaan kurang bagus, sebaliknya penswastaan membuka lebih besar ruang untuk pusat begini diperkukuhkan seterusnya disenaraikan dalam kalendar pelancongan,” katanya di sini, hari ini.

Muhammad Bakhtiar ditemui pada majlis meraikan penyumbang dana pembaikan piano milik P Ramlee yang sudah berusia 60 tahun di Pustaka Peringatan P Ramlee di Setapak, di sini.

Turut hadir Ketua Pengarah Arkib Negara, Datuk Azemi Abdul Aziz; Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Johan Ishak; Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studio, Datuk Ahmad Izham Omar dan Pengarah Urusan Innate Publishing Sdn Bhd, Saiful Amir Abd Wahab.

Majlis dikenali sebagai Getaran 88 Kekunci Hati adalah bersandarkan usaha sekumpulan penggiat seni tanah air diketuai Saiful Amir atau Pot daripada kumpulan Innuendo, mengumpul dana berjumlah RM10,000 untuk membaik pulih piano berkenaan.

Difahamkan, piano itu menjadi instrumen utama yang digunakan P Ramlee dalam menghasilkan karya agung termasuk sentuhan terakhir yang dialunkan Puan Sri Saloma, iaitu lagu berjudul Air Mata Di Kuala Lumpur, sebelum meninggal dunia pada 1973.

Sementara itu, Azemi mengalu-alukan sumbangan mana-mana pihak bagi membiayai usaha baik pulih piano berkenaan. Ini kerana masih banyak dana diperlukan untuk mendapatkan alat ganti asli dari United Kingdom (UK).

297 dibaca
Berita Harian X