Isnin, 25 March 2019 | 3:22pm
Aida mempertahankan dirinya enggan hipokrit sebaliknya mengutarakan realiti dalam dunia penerbitan apabila pelakon ada pakej lebih menjadi pilihan syarikat produksi. Foto NSTP Halimaton Saadiah Sulaiman

Eksklusif: Siri Satu Polemik Rupa vs Bakat - Ke Mana Arah Industri Seni?

KUALA LUMPUR: Industri hiburan kecoh gara-gara kenyataan berani penerbit, Datuk A Aida yang dilihat sesetengah pihak mengamalkan sikap pilih kasih dalam mencari pelakon pelapis, baru-baru ini.

Kenyataan Aida yang meminta mereka yang mahu mencuba nasib supaya tidak membuang masa menghadiri ke sesi uji bakat jika tiada rupa, mendapat maklum balas daripada pelbagai pihak termasuk penggiat seni.

Ada yang menyokong pendapat diutarakan, tidak kurang juga yang mengecam penerbit yang juga pelakon itu. Malah, ada yang menyifatkan kata-kata Aida sebagai suatu penghinaan kepada industri seni.

Walaupun ramai yang tidak bersetuju dengan pandangannya, Aida atau nama penuhnya, Zaidah Awang mempertahankan pendirian berdasarkan senario dalam industri penerbitan sekarang.

“Apa yang saya katakan itu mengambil kira apa yang berlaku kepada industri filem dan drama tempatan ketika ini.

“Sebagai pihak yang terbabit secara langsung dalam industri ini, saya tak mahu bersikap hipokrit.

“Saya perlu bercakap jujur supaya semua pihak termasuk mereka yang memasang impian menjadi pelakon, mendapat informasi yang tepat mengenai industri kita.

“Saya sedar ramai yang mengecam hanya kerana kenyataan itu. Tapi saya tak anggap apa yang saya katakan itu sebagai keterlaluan.

“Saya tidak berniat untuk menghina sesiapa... Sila fahami maksud kenyataan yang saya keluarkan sebelum menuduh yang bukan-bukan,” katanya kepada BH Online.

Tambah Aida, penerbit adalah ahli perniagaan dan logiknya, apabila bercakap soal bisnes, sudah tentu soal keuntungan harus diambil kira.

“Buat produk seni, ia adalah bisnes. Tidak ada orang berniaga yang hendak rugi. Lagipun kalau diperhalusi, kenyataan saya sebelum ini adalah bermaksud bahawa pelakon perlu datang dengan pakej, rupa dan bakat.

“Saya tak kata, kalau kacak dan cantik tetapi tidak punya bakat, boleh dengan mudah diterima produser. Walaupun seseorang itu cantik, tapi kalau tiada bakat pun, tidak boleh pergi jauh,” kata wanita berusia 48 tahun ini.

Walaupun teruk dihentam sehingga ada yang bersifat serangan peribadi, namun penerbit yang mula dikenali menerusi drama Halimah Jongang tidak akan berganjak dengan pendiriannya.

“Saya mempertahankan kenyataan saya. Ini kerana faktor wajah kacak dan cantik adalah tuntutan semasa. Saya bercakap atas platform saya sebagai juri Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2019 yang pastinya mencari pelakon yang ada pakej untuk dijadikan hero dan heroin,” katanya yang mengusahakan syarikat produksi A Aida Production.

Ketika isu paras rupa berbanding bakat hangat diperdebatkan netizen, penerbit dan pengarah terkenal, Fauziah Ahmad Daud adalah antara penggiat seni yang lantang bersuara mengenai perkara itu.

Fauziah atau mesra disapa Ogy berkata, sebagai pelakon berpengalaman, isu rupa bukanlah perkara yang harus diutamakan. Ini kerana baginya, bakat adalah perkara utama yang harus ada dalam memilih pelakon.

Tambah Ogy, perkara itu sudah diamalkan sejak zaman dulu lagi.

“Saya lahir dari keluarga seorang seniman dan seniwati dan pernah melihat sendiri bagaimana sukarnya pelakon dulu iaitu zaman Jalan Ampas, berjuang dalam bidang ini.

“Ketika itu, bakat adalah perkara paling utama. Kita boleh lihat sendiri bagaimana produksi waktu itu mempraktikkannya.

“Filem Labu Labi, selain Allahyarham Tan Sri P Ramlee turut menampilkan lakonan hebat Allahyarham M Zain dan Allahyarham Ahmad Nisfu. Mereka diambil kerana bakat, bukannya faktor paras rupa.

“Cuba kalau pelakon lain membawakan watak itu, saya tak rasa mereka boleh melakonkan karakter itu dengan berkesan,” jelas Ogy bagi menyokong hujahnya.

Pelakon yang terkenal dengan watak Azura dan Asmidar ini mengaku stesen televisyen (TV) turut memainkan peranan dalam membentuk stigma bahawa rupa adalah elemen penting sekali gus memberikan gambaran yang salah terhadap industri lakonan.

Apabila doktrin sebegitu disogokkan kepada penonton, tegas pelakon berusia 56 tahun ini, maka keluarlah kenyataan yang menyalahkan mereka sebagai punca mengapa drama tempatan banyak menampilkan pelakon yang tidak berkualiti.

“Saya tak nafikan, stesen TV turut menjadi punca mengapa isu ini timbul.

“Saya pernah menjadi juri. Saya pernah bertegang urat dengan mereka dalam hal ini apabila faktor penampilan fizikal yang menjadi keutamaan, iaitu wajah cantik, kacak dan berbadan sasa.

“Jika mereka memilih saya sebagai juri, mereka kena tahu yang saya tetap utamakan bakat daripada segala-galanya,” katanya.

Ogy mendedahkan insiden di mana ‘orang kuat’ sebuah stesen TV didakwa meminta beliau menukar pelakon yang diusulkan. Ogy mendakwa, mereka mahu pelakon lain yang membawakan watak itu.

“Menyedari pelakon yang mereka cadangkan itu tidak mampu membawa karakter terbabit, saya tetap mempertahankan pilihan asal saya itu.

“Disebabkan dia berkeras, saya terus memberikan kata dua sama ada mereka hendak tukar pelakon atau saya menarik diri projek itu. Saya takkan berkompromi dalam hal seperti ini,” katanya.

Untuk menjadikan industri ini terus dihormati, tambah Ogy yang digelar primadona, ruang itu harus diisi dengan pelakon berilmu. Ini kerana baginya, sebutir berlian akan tetap bersinar walaupun berada dalam lumpur.

“Rupa boleh ‘digilap’. Sebab itu wujudnya jabatan pakaian dan tatarias dalam sesebuah produksi.

“Menjadi pelakon bukanlah mudah. Selain bakat, kena ada ilmu bagaimana untuk menjadi pelakon yang baik dan mampu merangsang minda penonton menerusi naskhah yang diberi.

“Pelakon juga mesti ada misi dan visi dalam berkarya. Kecualilah kalau dia berlakon kerana suka-suka... Golongan seperti inilah sebenarnya yang merosakkan industri.

“Walau apapun alasannya, saya tetap akan menentang mereka yang cuba merosakkan industri dengan fahaman yang mengelirukan sehingga mendatangkan persepsi negatif masyarakat terhadap pelakon terutama mereka yang serius dalam bidang ini,” katanya.

Berita Harian X