Selasa, 26 March 2019 | 3:53pm
Que berharap Aida lebih sensitif dalam menyuarakan pandangan kerana bimbang memusnahkan impian individu berbakat besar yang mahu mencuba nasib dalam dunia seni. - NSTP/Nurul Shafina Jemenon

Eksklusif: Siri Dua Polemik Rupa vs Bakat - Ke Mana Arah Industri Seni?

KUALA LUMPUR: Pelakon berkarakter, Que Haidar menyifatkan, insan seni mempunyai tanggungjawab besar dalam menyalurkan mesej positif kepada masyarakat, sekali gus mendidik mereka supaya lebih menghargai keringat yang dicurahkan.

Que atau nama lengkapnya, Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar, 40, sebaliknya melihat, rupa hanya bonus kerana apa yang membuat seseorang insan seni bertahan adalah bakat dan ilmu.

“Apabila menghadiri uji bakat, kita mahu bakat yang dinilai, bukan paras rupa. Disebabkan itu, proses itu dipanggil sebagai uji bakat.

“Rupa hanya bonus kerana lambat-laun ia akan pudar. Paling penting adalah bakat dan ilmu seni kerana kelebihan itu yang menjamin langkah seseorang anak seni.

“Industri sudah membuktikan kita mempunyai ramai pelakon yang mungkin kurang dari segi rupa, namun mampu berjaya dan mencipta nama di negara jiran,” katanya kepada BH Online.

Menghormati pandangan Datuk A Aida ketika sesi uji bakat sempena Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2019, baru-baru ini, Que bagaimanapun, berharap penerbit itu lebih sensitif dalam menyuarakan pendapat.

“Kenyataannya itu mampu memusnahkan impian individu berbakat besar, namun tidak mempunyai penampilan menarik untuk diketengahkan.

“Ia mungkin memberi kesan dan menjejaskan keyakinan mereka. Sebagai individu berpengaruh, dia harus lebih berhati-hati kerana tidak adil untuk menilai kemampuan bakat baharu tanpa terlebih dahulu memberi peluang dan ruang hanya kerana paras rupa mereka,” katanya.

Pelakon Ophilia itu berkata, sebagai penggiat seni, mereka harus menghormati antara satu sama lain, malah memberi galakan kepada individu berbakat untuk membuktikan kemampuan sebenar.

“Kita perlu menunjukkan contoh yang baik kerana tiada orang lain yang akan mengangkat martabat industri seni, jika bukan kita sebagai penggiatnya.

“Selebriti mempunyai keistimewaan tersendiri, malah turut dipandang masyarakat. Saya selalu bertanya kepada diri, apa yang mampu saya berikan kepada pengikut di laman sosial?

“Mempunyai jumlah pengikut yang ramai di media sosial sebenarnya hadir bersama tanggungjawab dengan menyalurkan perkara positif, bukan menjatuhkan semangat dan keyakinan orang lain,” katanya.

Sementara itu, Zahiril Adzim, 36 pula berpendapat, setiap tawaran yang datang membuka ruang kepada pelakon untuk mempamerkan bakat dan hasil kerja terbaik.

“Saya teringat kata-kata yang diucapkan pelakon, Micheal Eklund. Pelakon katanya, mempamerkan bakat dan jika hanya bersandar kepada rupa serta penampilan, ia tidak dipanggil kerja seni,” katanya.

Akur kecenderungan stesen televisyen memilih pelakon yang mempunyai paras rupa menarik sebagai tarikan, namun katanya, ia harus diimbangi supaya masyarakat tidak selamanya disogok dengan keindahan yang ‘kosong’.

“Siapa yang memulakan semua ini? Jika terlalu sering menyogok khalayak dengan rupa, lama-kelamaan ia akan memberi kesan kepada perkembangan industri hiburan.

“Ia sama seperti ibu bapa yang selalu memberikan anak mereka makanan yang sedap, namun tanpa disedari ia sebenarnya tidak baik untuk kesihatan. Apabila berlebihan, ia memudaratkan diri dan perkara sama juga berlaku kepada industri jika kita meletakkan paras rupa sebagai keutamaan, berbanding bakat,” katanya.

Zahiril yang dikenali menerusi filem Kami pada 2008 bagaimanapun, mengakui paras rupa menarik memberikan kelebihan, terutama dari sudut sinematik.

“Tetapi sebagai orang yang mempunyai kuasa, kita mampu mengubahnya. Dahulu, kita mempunyai ramai yang mempunyai pelakon yang ada pakej lengkap. Kenapa sekarang tidak begitu?

“Jika rupa yang menjadi pilihan, tetapi mengapa bakat yang dinilai dalam sesebuah acara anugerah? Mengapa masih tidak nampak perkara itu dan sanggup mengetepikan pelakon yang berbakat tetapi kurang menarik?” katanya.

Hampir sedekad merantau ke Amerika Syarikat (AS), penyanyi Zee Avi atau nama sebenarnya, Izyan Alirahman juga mengakui, pakej lengkap dari segi bakat dan rupa memberi kelebihan untuk mencipta nama di negara asing.

Namun, penyanyi yang berasal dari Miri, Sarawak itu bagaimanapun, lebih mengutamakan bakat, memandangkan dia bermula sebagai pemuzik bebas.

“Di AS, untuk menguasai arus perdana, seseorang harus mempunyai bakat dan rupa. Tetapi, disebabkan bermula sebagai pemuzik bebas, saya lebih mengutamakan kelainan.

“Saya lebih menghargai keunikan bakat yang dimiliki seseorang penyanyi itu, terutama dari segi tona suara, selain cara dia membawa diri dan muzik. Saya lebih menghargai bakat, memandangkan saya tidak terlalu menitikberatkan soal penampilan,” katanya.

Zee mengorak langkah ke AS sekitar 2009 dan selepas setahun menetap di New York, dia berhijrah ke Los Angeles.

Akur peminat lebih gemar menilai visual, berbanding aspek dalaman, penyanyi yang popular dengan lagu Kantoi itu mengakui, tidak mudah untuk dia mencari keyakinan diri pada awal kemunculan.

“Semua orang mempunyai kekurangan, namun saya perlu ubah perspektif itu dengan mensyukuri kurniaan yang diberikan.

“Saya berpegang kepada prinsip, ‘Be Yourself, Everybody Else Is Already Taken’ (Jadi diri sendiri, orang lain sudah dimiliki). Dari situ, keyakinan perlahan-lahan datang.

“Saya bersyukur dengan apa yang ada dan menghargai setiap pengalaman yang saya lalui,” katanya yang akan melancarkan single Melayu, Saya, Kamu.

Berita Harian X