Rabu, 27 March 2019 | 4:34pm
Johan (dua kiri) bersama Pengurus Besar, Pengurusan Jenama dan Rancangan TV3 dan TV9, Siti Nurlisia Mohd Nadzri (kiri), Erma Fatima (tengah), Ashraf Muslim dan Fasha Sandha (kanan) pada siri jelajah DFKL di Sri Pentas, Bandar Utama, baru-baru ini. Foto NSTP Zunnur Al Shafiq

Eksklusif: Siri Akhir Polemik Rupa VS Bakat - Ke Mana Arah Industri Seni?

KUALA LUMPUR: Ketika polemik rupa atau bakat menjadi faktor pertimbangan dalam memilih pelakon hangat dibicarakan, penyiar terutama stesen televisyen (TV) pantas dituduh menjadi punca kontroversi.

Terdengar suara-suara mendakwa kononnya stesen TV memiliki kuasa veto dalam memilih pelakon yang dimahukan. Atas alasan itu juga, ciri penampilan fizikal dikatakan menjadi faktor utama pemilihan barisan pelakon.

Kononnya, semakin kacak, sasa, cantik atau seksi pelakon yang menghiasi kaca TV, makin tinggilah rating yang mampu diraih.

Justeru, benarkah stesen TV mempunyai peranan besar dalam polemik yang hangat diperkatakan ini? Atau apakah isu ini sekadar teori ‘bangau oh bangau’ apabila semua pihak saling menuding jari tanpa ada jalan penyelesaian?

Bagi meleraikan persoalan dan tanda tanya, HIP mendapatkan pandangan dua ‘orang kuat’ stesen TV iaitu Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Johan Ishak dan Ketua Strategi Kandungan Hiburan Astro, Raqim Ahmad untuk mengulas isu berkenaan.

Berikutan isu dicetuskan penerbit terkenal, Datuk A Aida ketika beliau menjadi juri sesi uji bakat Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2019, baru-baru ini, ada pihak membangkitkan persoalan apakah TV3 mengamalkan pilih kasih dalam mencari pelakon?

Ada juga yang mengutarakan isu ‘perang rating’ atau usaha penyiar meraih jumlah tontonan tertinggi sebagai alasan mencari pelakon tampan dan jelita menghiasi drama atau telefilem yang disiarkan.

Mahu mengikis persepsi sempit itu, Johan menafikan stesen TV mengamalkan apa yang dikatakan pilih kasih dalam menentukan barisan pelakon.

“Kami tidak pernah mengarahkan atau meletakkan syarat kepada mana-mana penerbit untuk mengambil pelakon yang ada rupa sahaja dan mengenepikan bakat.

“Kontroversi ini tercetus disebabkan salah tafsiran ramai pihak. Hakikatnya tidak sama sekali. Ia perlu diambil dari konteks yang betul dan munasabah.

“Keadaan ini sebenarnya bergantung kepada genre drama yang dihasilkan. Misalnya, jika terbitkan drama percintaan, sudah tentu paras rupa pelakon diambil kira.

“Kita harus akui drama yang menampilkan pelakon yang mempunyai paras rupa, meraih jumlah penonton yang tinggi,” katanya kepada BH Online.

Johan berkata, setiap pandangan harus diambil kira dan diperhalusi demi mewujudkan situasi ‘menang-menang’ antara kedua-dua pihak iaitu penyiar dan penerbit.

“Biasanya dalam memilih pelakon, kami duduk sekali dan saling memberi input. Seperti yang saya katakan tadi, semuanya ikut kesesuaian watak. Keutamaan tetap diberi kepada mereka yang berbakat.

“Kerana itu, ketika uji bakat dilakukan, peserta perlu diuji dengan meminta mereka menukar mood seperti sedih, gembira dan marah secara spontan.

“Seseorang pelakon perlu ada aura. Jika dia hadir dengan paras rupa yang menarik, bagi kami, itu suatu markah bonus buatnya.

“Keseimbangan adalah penting kerana jika wajah saja kacak dan cantik tapi tak pandai berlakon, tak guna juga. Ini kerana di penghujungnya, pelakon seperti ini tak mampu bertahan lama dalam industri,” katanya.

Mengulas nasib mereka yang mungkin kurang daripada segi rupa tetapi boleh diketengahkan sebagai pelakon, Johan memberitahu, peluang tetap disediakan untuk golongan itu.

“Dalam sebuah drama, tentu ada watak lain yang ditonjolkan. Di situlah sikap keterbukaan kami dibuktikan iaitu dengan memberikan peluang kepada pelakon berbakat untuk berkarya.

“Ada banyak lagi watak lain yang memerlukan aura, keterampilan, karisma dan keupayaan berlakon secara semula jadi. Tidak semestinya bergantung kepada paras rupa.

“Melalui watak inilah kami beri ruang kepada pelakon menyerlah. Kalau kita lihat, tidak semua pelakon drama lelaki perlu kelihatan sasa. Ini kerana apa yang lebih penting adalah kesesuaian watak yang dipegang,” katanya.

Bagi stesen TV berbayar Astro, pendirian sama dinyatakan iaitu memberi peluang sama rata kepada pelakon. Malah, dalam keadaan tertentu, Astro ‘berani’ melakukan eksperimen demi kepuasan penonton.

Raqim berkata, Astro berpegang kepada prinsip kepuasan penonton sebagai keutamaan mereka.

“Ini kerana setiap penonton ada cita rasa berbeza. Justeru, kami tidak pernah bersikap pilih kasih iaitu dengan hanya menampilkan pelakon yang ada paras rupa untuk muncul dalam stesen kami.

“Suatu ketika dulu, kami pernah menyiarkan drama Dotti yang menjadikan gadis berbadan gempal sebagai watak utama.

“Dalam berkarya, kreativiti itu penting. Jika penerbit itu kreatif dan mempunyai sebuah karya yang bagus dan relevan dengan masyarakat, siapapun pelakonnya, penonton tetap boleh terima, " katanya.

Tambah Raqim, dalam memilih pelakon, ada banyak kriteria diambil kira, bukannya faktor penampilan fizikal semata-mata.

“Bakat kena ada... Ini kerana itu adalah asas dalam dunia lakonan. Kami tidak pernah berkompromi dalam soal itu.

“Soal rupa, kalau ada, itu adalah bonus. Kalau kita lihat situasi sekarang, industri kita ramai yang hadir dengan pakej iaitu bakat dan penampilan fizikal yang menarik,” katanya.

Raqim berkata, pihaknya turut melihat kesesuaian watak untuk pelakon.

“Kalau watak itu mungkin tak sesuai dengan wajahnya, kita tak akan pilih walaupun dia cantik atau bertubuh sasa.

“Kita juga tidak akan pilih pelakon yang wajahnya kerap muncul di TV atau pawagam kerana tak mahu penonton jemu. Kita beri peluang itu pada pelakon lain,” jelasnya.

Sama seperti yang dilakukan setiap stesen TV, tambah Raqim, pemilihan pelakon dibuat secara perbincangan bersama dengan pihak penerbit.

“Biasanya penerbit akan mengusulkan nama pelakon dan pihak TV memberi input bagi pemilihan pelakon untuk sesebuah drama atau program yang bakal dihasilkan.

“Pelbagai kriteria harus dilihat sebelum kata persetujuan diberi. Hanya selepas kata sepakat dicapai, barulah drama atau program itu dihasilkan,” katanya.

Kesimpulannya, walaupun faktor keuntungan menjadi keutamaan, namun stesen TV tidak mengabaikan aspek seni dan nilai estetikanya.

Dalam mengejar rating, mereka masih ada budi bicara dalam memilih pelakon dan tidak pernah menganaktirikan mana-mana pelakon berbakat. Ini kerana bagi mereka setiap orang harus diberi peluang yang sama rata.

Ternyata tuntutan komersial dan tanggungjawab sosial perlu ada keseimbangan supaya semua pihak mendapat manfaat.

Berita Harian X