Khamis, 4 April 2019 | 2:30pm
Kumpulan NAMA. - Foto Youtube

NAMA, 'Manusia Kalkulator' sedia beraksi di final Asia's Got Talent

SINGAPURA: Kumpulan penyanyi wanita berhijab dari Malaysia, NAMA, yang berjaya ke pusingan akhir rancangan Asia’s Got Talent sedia menjadi perintis atau ‘trendsetter’ dalam industri hiburan di rantau ini, kata juri program realiti antarabangsa itu, David Foster.

“(Kumpulan) ini saya fikir penting untuk dunia melihat (bagaimana) empat gadis moden yang juga orang Islam,” katanya yang juga seorang daripada tiga juri program itu, dalam satu temu bual dengan Bernama dan dua media Singapura, di sini.

Empat sekawan iaitu Nur Fazrina Mohd Ani, 28, Noor Syamimi Makhetar, 24, Norfazira Malik, 24, dan Nur Farahida Dolhadi, 24, merupakan satu daripada tiga persembahan yang terpilih menerusi Pilihan Juri sekali gus menolak undian dalam talian untuk menempah tiket ke final.

Foster, pemuzik dan penerbit dari Kanada, kagum dengan konsep dibawa NAMA yang mana walaupun mereka berhijab tetapi ia tidak menghalang mereka untuk membuat persembahan menghiburkan di atas pentas.

“Saya mencadangkan kepada seseorang di LA (Los Angeles). Saya curi sedikit idea, mereka sedang membuat TV perintis mengenai (program) seorang wanita.


YAASHWIN Sarawanan. - Foto Youtube

“Saya katakan, kita harus menjadikan seorang daripada mereka dalam kumpulan Muslim ini. Ia akan menjadi sesuatu yang menarik untuk TV Amerika. Dia normal, dia hebat, dia masih boleh berseronok, ia penyanyi yang hebat,” katanya.

Mengulas mengenai seorang lagi peserta dari Malaysia yang berjaya ke final, Yaashwin Sarawanan, Jay Park, penyanyi rap terkenal Amerika-Korea, berkata remaja berusia 15 tahun itu ‘cukup unik’.

“Beliau berbakat dan sangat unik. Saya tidak pernah membayangkan dalam 1,000 tahun seorang lelaki menyelesaikan (masalah) Matematik dengan baik dan berjaya ke peringkat akhir. Ini agak gila,” katanya.

Yaashwin yang menganggap dirinya sebagai penghibur dan bukannya ‘manusia kalkulator’ seperti yang diperkatakan ramai, akan membuat persembahan terakhirnya di Marina Bay Sands di sini bersama NAMA dan tujuh lagi finalis, malam ini.

Finalis lain ialah Siti Saniyah (Indonesia), Maniac Family (Taiwan), Shadow Ace (Filipina), Junior Good Vibes (Filipina) dan Eric Chien (Taiwan).

Ditanya mengenai langkah seterusnya bagi pemenang selepas memenangi hadiah wang tunai US$100,000, seorang lagi juri, Anggun Cipta Sasmi, berkata Asia’s Got Talent menawarkan ‘platform bertaraf dunia’.

“Bagi saya, dunia menjadi semakin kecil. Sebab itu apabila anda menggunakan platform ini sebaiknya, anda boleh menjadi tular dan pergi ke mana-mana bahagian dunia yang anda mahu, dan ia semua bergantung kepada apa yang anda ingin lakukan.

“Hadiah US$100,000 boleh jadi banyak atau sedikit, bergantung kepada apa yang anda mahu buat,” kata penyanyi antarabangsa kelahiran Indonesia itu.

Berkenaan harapan juri pada Asia’s Got Talent musim akan datang, Jay Park berkata: “Saya mahukan penyanyi rap yang bagus.”

“Belum ada lagi penyanyi rap yang melepasi uji bakat juri. Jika ada seorang pasti bagus. Ada ramai (penyanyi rap) yang sangat berbakat di Asia.

“Maksud saya walaupun di Malaysia, Singapura (atau) Thailand. Saya tidak tahu mengapa tidak ada seorang pun,” katanya.

Pusingan akhir Asia’s Got Talent akan bersiaran pada 8.30 malam ini di saluran AXN (Astro saluran 701) dan AXN HD (Astro saluran 721). – BERNAMA

1760 dibaca
Berita Harian X