Rabu, 10 April 2019 | 3:51pm
DATUK Hans Isaac dilantik sebagai Pengerusi FINAS berkuat kuasa 8 April lalu. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Kurang cakap, lebihkan kerja - Hans Isaac

KUALA LUMPUR: Pelakon dan penerbit, Datuk Hans Isaac, 47, mengambil pendekatan kurang bercakap, sebaliknya membuktikan segala perjuangan memajukan industri perfileman tanah air dengan hasil yang dicapai.

Katanya, selama 25 tahun berkecimpung dalam arena seni, dia sudah mendengar pelbagai perkara mengenai usaha membawa industri berkenaan ke peringkat lebih tinggi.

“Jadi, berikan saya sedikit masa dan kali ini, biarlah kita kurang bercakap serta membuktikan semuanya dengan hasil yang ingin dicapai,” katanya kepada BH Online saat mengulas pelantikannya sebagai Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) yang baharu, berkuat kuasa 8 April lalu.

Pelantikan berkenaan diumumkan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Gobind Singh Deo, menerusi kenyataan media, hari ini.

Hans menggantikan Datuk Samsuni Mohd Nor yang menjalankan tugasnya sebagai pemangku Pengerusi FINAS selama lebih empat bulan lalu.

“Saya berterima kasih kepada pihak kementerian atas kepercayaan dan peluang diberikan ini. Saya juga gembira kerana posisi ini akhirnya diisi oleh mereka yang bergelar pemain industri seni dan bukan dalam kalangan ahli politik,” katanya.

Hans turut memaklumkan, selama dua tahun tempoh perkhidmatan, ada 15 perkara ingin diubahnya bagi membangunkan lagi dunia perfileman negara.

“Bagaimanapun, saya perlu membincangkan semuanya bersama ahli lembaga pengarah dan Ahmad Idham selaku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), FINAS,” katanya.

Selain itu, Hans sedar, pelantikannya sebagai pengerusi perbadanan terbabit pasti mengundang pelbagai reaksi.

“Saya bersikap terbuka dalam hal ini kerana tidak semua orang akan sukakan kita. Begitulah sebaliknya,” katanya yang pernah menjadi Ahli Lembaga Penasihat FINAS dan Ahli Lembaga Persatuan Penerbit Filem Malaysia pada 2012.

1439 dibaca
Berita Harian X