Jumaat, 12 April 2019 | 12:15am
YAASHWIN Sarawanan muncul naib juara musim ketiga AGT di Singapura, sebentar tadi. - Foto BERNAMA

Manusia Kalkulator naib juara AGT

KUALA LUMPUR: Undian peminat meletakkan remaja Malaysia berusia 15 tahun, Yaashwin Sarawanan yang digelar ‘Manusia Kalkulator’ sebagai pemenang tempat kedua program realiti, Asia’s Got Talent (AGT) di Singapura, sebentar tadi.

Pencapaian itu menjadikan Yaashwin rakyat Malaysia pertama yang menduduki tangga kedua teratas pada pertandingan yang memasuki musim ketiga itu.

Pengumuman kejayaan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Tun Hussein Onn Dua, Cheras, itu dibuat kira-kira jam 10.30 malam di lokasi acara iaitu di Marina Bay Sands.

Sebelum ini, salah seorang juri pertandingan itu, David Foster pernah menyifatkan aksi Yaashwin yang cekap ‘bermain’ dengan nombor, sangat mengagumkan.

Penyanyi antarabangsa berasal dari Indonesia, Anggun Cipta Sasmi pula menganggap remaja itu hampir mencapai tahap genius.

Sementara itu, empat gadis berhijab dari Malaysia yang menggelarkan diri mereka, NAMA hanya menduduki tiga tangga paling bawah pada pertandingan yang menyaksikan sembilan peserta bersaing.

NAMA dianggotai Nur Fazrina Ani, 28; Noor Syamimi Makhetar, 24; Nor­fazira Malik, 24; and Nur Farahida Dolhadi, 24.

Musim terbaru AGT mengangkat ahli silap mata dari Taiwan, Eric Chien sebagai juara. Tempat ketiga dimenangi peserta Filipina, Power Duo yang juga pasangan penari.

4283 dibaca
Berita Harian X