Sabtu, 20 April 2019 | 7:40pm
PEMUZIK, Yazit, akan turut hadir pada acara amal di Ampang, esok. - Foto Luqman Hakim Zubir

Pemuzik anjur acara amal bantu Yazit

KUALA LUMPUR: Penderitaan Yazit Ahmad terus mendapat perhatian apabila sebuah pertubuhan dianggotai pemuzik profesional menganjurkan acara amal bagi membantu meringankan beban ditanggung bekas pemain dram kumpulan Search itu.

Menurut jurucakap program Yazit Ahmad Fundraising itu, Halim Nnine, acara yang bakal diadakan di Souled Out, Ampang, esok, menyajikan pelbagai aktiviti menarik dan sesuai untuk semua peringkat usia.

“Acara akan bermula pada jam 2.30 petang dan ia terbuka kepada semua. Tiada bayaran masuk dikenakan, sebaliknya mereka yang ingin membantu boleh menderma menerusi tabung khas disediakan.

“Aktiviti dijalankan pula bersesuaian untuk semua peringkat usia dan golongan, antaranya persembahan nyanyian, pertunjukan silap mata, kemunculan badut, klinik muzik dan sesi ramah mesra. Tidak ketinggalan diadakan sesi jualan cakera padat dan barangan cenderahati selebriti.

“Kami sebenarnya sudah lama mengenali abang Yazit dan sebagai tanda persahabatan, mereka yang terbabit dalam program ini menghulurkan khidmat masing-masing tanpa meminta sebarang bayaran,” katanya kepada BH Online.

Antara mereka yang bakal menjayakan persembahan pada acara itu termasuk pemain dram yang juga adik kepada Yazit iaitu Zahid Ahmad, 7th Sound, Mpire, Yazer AF, Candy, Rasta Syndicate, Kashmir Stone, Retrospektif, UG14 dan Teddys Project.

Sebagai kemuncak acara, kata Halim, mereka turut menampilkan pemuzik berpengalaman berkenaan pada penghujung program.

“Sebaik sahaja dimaklumkan mengenai penganjuran acara ini, abang Yazit sangat terharu. Katanya, sebelum ini ada banyak pihak menabur janji untuk mengadakan program sedemikian, tetapi senyap begitu sahaja.


VOKALIS N9 Syndicates, Halim Nnine, dan beberapa kumpulan muzik serta artis solo bakal berganding bahu menjayakan acara amal bagi meringankan beban ditanggung bekas anggota Search, Yazit.

“Abang Yazit hanya akan muncul pada penghujung acara kerana keadaan kesihatannya kurang mengizinkan. Kami akan menyerahkan semua wang sumbangan kepadanya pada malam itu juga,” ujar Halim yang juga vokalis dan pemain gitar kumpulan N9 Syndicates.

Selain acara di pusat hiburan berkenaan, Halim berkata, sebuah lagi program serupa dilangsungkan di lokasi segi tiga emas Bukit Bintang.

Acara terbabit bakal dijayakan oleh kumpulan pemuzik jalanan iaitu The Selia, Bluezbug, Assalambuskers & Zul Handy Black serta Reksub.

1482 dibaca
Berita Harian X