Isnin, 1 Julai 2019 | 7:40pm
HAZIQ melihat pembaharuan yang ditonjolkan BH menepati selera pembaca semasa. Foto NSTP

Wajah baharu BH penuhi kehendak pembaca semasa

KUALA LUMPUR: Akhbar BH yang tampil dengan wajah baharu bersama pengisian segmen lebih kemas dan padat isu terkini turut mendapat reaksi positif selebriti.

Penyampai radio Hot FM, Haziq Hussni berkata, pemilihan warna dan kepelbagaian foto yang dipaparkan mampu menarik perhatian, terutama pembaca muda.

Katanya, persembahan laporan yang lebih ringkas dan padat juga memudahkan pembaca untuk mengikuti setiap paparan dalam akhbar kompak itu.

“Saya lihat, akhbar ini semakin urban dan mesra, terutama dalam kalangan pembaca muda. Warna yang digunakan juga lebih menarik dan kontemporari.

“Berita yang disampaikan juga ringkas dan padat. Lebih mengujakan, pemilihan foto yang menarik dan berseni turut memberi kekuatan kepada akhbar ini.

"Pembaharuan ini sangat bagus kerana selain mengekalkan kesetiaan pembaca, ia turut menarik kelompok baharu supaya menjadikan BH sebagai bahan bacaan harian,” katanya.

Bagi vokalis kumpulan Hujan, Noh Salleh pula, walaupun gaya hidup masyarakat lebih cenderung kepada media digital, dia sentiasa yakin media cetak masih mempunyai pengaruh yang tersendiri.

Katanya, BH terus berani merintis cabaran itu dengan melakukan pembaharuan supaya lebih segar dan menarik perhatian pembaca.

“BH sentiasa melangkah ke arah kematangan dalam menyampaikan berita kepada pembaca. Perubahan wajah baharu ini membuatkan pembaca tidak bosan mengikuti pelbagai pengisian yang matang, berjiwa dan terkini,” katanya.


ROZITA berpendapat wajah baharu BH memudahkan bacaan, sekali gus kekal menjadi pilihan pembaca. Foto NSTP

Sementara itu, pelakon jelita Rozita Che Wan pula menyifatkan, kandungan berita yang disusun rapi dan pembahagian mengikut topik memudahkan lagi pembacaan,

“Saya suka melihat paparan berita yang kemas dan tersusun rapi. BH sudah lama bertahan dalam industri media cetak dan saya percaya, akhbar ini akan terus relevan dalam menyalurkan informasi kepada masyarakat.

“Pengisiannya juga padat, merangkumi setiap aspek termasuk berita, rencana, hiburan atau sukan. Saya yakin BH akan terus menjadi pilihan pembaca,” katanya.

Berita Harian X