Rabu, 17 Julai 2019 | 9:00am
SEBAHAGIAN poster dihasilkan penyokong setia artis yang bertanding pada ABPBH 32.

Perang poster meriahkan kempen ABPBH 32

KUALA LUMPUR: Sebaik sahaja undian awal Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32 dibuka, Isnin lalu, penyokong artis bertanding giat menjalankan kempen dalam usaha memastikan selebriti kesayangan mereka mara ke peringkat seterusnya.

Laman sosial pula menjadi medan terbaik untuk masing-masing menggerakkan kempen berkenaan, dengan sebahagian besarnya menghasilkan pelbagai poster kreatif bagi menarik perhatian ramai.

Dengan kebanyakannya dihasilkan oleh kelab peminat dan penggemar artis terbabit, poster berkenaan bukan sekadar memaparkan gambar selebriti pilihan mereka, malah kategori ditandingi dan maklumat berkaitan cara serta tempoh undian.

Perang poster terbabit tentu sahaja memeriahkan lagi suasana kempen acara anugerah hiburan pilihan peminat paling lama bertahan itu, apatah lagi apabila masing-masing tidak lupa meletakkan tanda pagar #ABPBH32 pada hantaran yang dibuat.

Antara yang terawal menjalankan kempen termasuk kelab peminat ataupun penyokong Wany Hasrita, Emma Maembong, Fattah Amin, Alif Satar, Janna Nick, Khai Bahar, Siti Nordiana, Syafiq Kyle, Shukri Yahaya, Nazim Othman dan Zara Zya.

Tidak ketinggalan menghangatkan perang poster ialah penyokong Ara Johari, Ben Ladin, Adam Lee, Amira Othman, Puteri Aishah, Azrel Ismail, Issey Fazlisham, Reen Rahim, Fendy Bakry, Isma Sane dan ramai lagi.

Bukan sekadar poster jadi taruhan, sebahagiannya pula menghasilkan video kreatif bagi mempromosikan kategori yang menyenaraikan artis kesayangan mereka.

Undian awal ABPBH 32 yang dibuka sejak 15 Julai lalu akan berlangsung sehingga 14 Ogos depan.

Ia akan disusuli dengan undian peringkat Top 5, sehingga 15 September, sebelum keputusannya diumumkan pada malam kemuncak ABPBH 32 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 22 September depan.

Sebanyak 15 kategori utama dipertandingkan kali ini, manakala lima lagi kategori online.

Sementara itu, Pengarang Hiburan BH merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengelola ABPBH 32, Shamshul Azree Samshir, demam anugerah itu mula dirasakan sejak hari pertama dilancarkan.

“Kita dapat rasakan semangat peminat dan FC menghangatkan proses undian pusingan pertama dengan mengambil inisiatif sendiri, termasuk perang poster dan video.

“Kita juga optimis sasaran mendapatkan undian lebih tinggi pada penganjuran kali ini mampu dicapai, termasuk melalui pakej promosi langganan akhbar digital BH hasil kerjasama DuitNow,” katanya.

Beliau berkata, segala maklumat mengenai undian dan langganan BH Digital boleh didapati di www.abpbh.com.my.

ABPBH 32 membawakan tema Melangkaui Sempadan, bersama misi mengiktiraf kejayaan anak seni tempatan, bukan hanya di tanah air, malah merentasi benua.

Jenama kosmetik terkenal, Alha Alfa, menjadi Penaja Utama ABPBH buat kali kedua sejak 2018.

965 dibaca
Berita Harian X