Sabtu, 20 Julai 2019 | 5:30pm
PEMUZIK, komposer dan penyanyi terkemuka India, AR Rahman. - Foto Facebook AR Rahman

Konsert hargai AR Rahman kembali

KUALA LUMPUR: Sambutan hangat diterima pada konsert menghargai tokoh muzik India, AR Rahman, tahun lalu, mendorong penganjur sekali lagi membawakan persembahan serupa ke ibu negara, 3 Ogos depan.

Bakal berlangsung di Star Xpo Centre Kuala Lumpur, jam 7.30 malam, persembahan terbabit akan menyaksikan kemunculan bintang veteran yang turut menghangatkan pentas pada 2018, Mano dan Srinivas.

Menurut kenyataan dikirimkan Mojo Projects selaku penganjur, penggiat seni terbabit akan disertai penyanyi latar filem popular, Alaipayuthey, Sadhana Sargam, Harini dan Sathyaprakash.

Perhubungan antara Mano dengan Rahman bermula pada 1994 apabila dia dijemput oleh sifu muzik terbabit untuk menyanyikan lagu Mukkabla bagi filem berjudul Kadhalan.

Sebagai pakar vokal, dia menyerlah dengan Aathangara Marame untuk filem Kizhakku Seemaiyile, sebuah karya yang pastinya kuat melekat dalam ingatan peminat setia Rahman.

PENYANYI berpengalaman, Srinivas, akan turut menyemarakkan Retro Rahman 2.0.

Di sudut lain, Srinivas mendapat pengiktirafan dengan lagu Maana daripada Minsaara Kanavu, diikuti En Uyire daripada filem Uyira arahan Mani Ratnam, iaitu naskhah versi Tamil bagi Dil Se. Hasil gubahan Rahman membantu melonjakkan Srinivas ke puncak kemasyhuran.

Persembahan artis yang menyemarakkan konsert itu, kali ini, pula bakal diperhebatkan dengan kreativiti pengarah muzik yang juga pemain piano dan penghibur, Anil Srinivasan, bersama-sama kumpulan bertenaga, Mani & Band. Mereka turut menampilkan Nikhil Ram yang bermain seruling.

Bersama kerjaya melangkaui tiga dekad, Sadhana Sargam ialah seorang daripada penyanyi India yang mampu melepasi jangkaan Rahman saat mendendangkan karya ciptaan tokoh muzik terbabit.

Lagu nyanyiannya yang mendapat pujian ramai adalah daripada filem Water, hasil gubahan Rahman. Dalam filem keluaran 2005 terbitan Kanada dan India itu, dia menyumbangkan suara untuk tiga lagu, iaitu Aayo Re Sakhi, Piya Ho dan Naina Neer.

Sejak itu, Sargam merakamkan lagu untuk Rahman dalam pelbagai bahasa, termasuk Tamil, Hindi dan Telugu.

Sementara itu, Harini pula didekati oleh Rahman untuk menyanyikan lagu Nila Kaigirathu dalam filem yang memenangi anugerah, Indira, pada usia 15 tahun. Sehingga kini, dia merakamkan lebih 2,000 lagu dalam bahasa Tamil, termasuk Telephone Manipol daripada filem Indian dan Hello Mr Edhirkatchi untuk Iruvar.

Konsert Retro Rahman 2.0 juga akan turut menyaksikan penampilan bintang masa kini, Sathyaprakash. Penyanyi berusia 29 tahun itu cukup dikenali selepas merakamkan lagu yang mendapat pengiktirafan, seperti Nallai Allai untuk filem Kaatru Veliyidai dan Aalaporan Thamizhan (Mersal).

PENYANYI dan penghibur, Sathyaprakash.

Dikenali sebagai tokoh yang memperkenalkan pembaharuan dalam dunia muzik negara itu, Rahman banyak menghasilkan karya dengan irama mudah menangkap perhatian pendengar, bersama melodi indah dan lagu yang meniti di bibir penggemar pada era 1990-an.

Lagu seperti Urvasi Urvasi, Puthu Vellai Mazhai, Chinna Chinna Asai, Ennavale Adi Ennavale dan Hello Doctor dengan pantas menjadi popular.

Tiket boleh ditempah menerusi laman web AirAsiaRedtix.com. Maklumat lanjut juga boleh didapati dengan berkunjung ke fb.com/mymojoprojects atau www.mojoprojects.asia.

Berita Harian X