Ahad, 21 Julai 2019 | 11:00am
PEMUZIK, Ally Rahman @ Wan Kelly Abdul Rahman, meninggal dunia pada Mei lalu. - Foto ihsan pembaca.

Penggiat seni bersatu jayakan Konsert Kenangan Kelly

KUALA LUMPUR: Penggiat seni terdiri daripada pemuzik, penyanyi dan kru produksi bersatu hati untuk menganjurkan konsert bagi meringankan beban keluarga pemain gitar bes terkenal, Ally Rahman @ Wan Kelly Abdul Rahman, yang meninggal dunia Mei lalu.

Mereka sepakat untuk menjayakan persembahan amal terbabit atas dasar persahabatan, selain mengenang insan yang banyak berjasa pada industri muzik.

Menurut penganjur yang juga pencetus idea persembahan, Datuk Acis, Konsert Kenangan Kelly disifatkan sebagai manifestasi penghargaan mereka terhadap insan istimewa itu.

DATUK Acis mendapat idea menganjurkan konsert amal untuk arwah Wan Kelly pada Ramadan lalu. - NSTP/Salhani Ibrahim

“Sebelum ini, sahabat baik arwah ada membantu serba sedikit keperluan keluarganya. Namun, apabila difikirkan semula, berapa sangat yang dapat kami semua sumbangkan? Mungkin jumlah itu tidak mencukupi. Dari situ, tercetus idea untuk menganjurkan konsert amal ini.

“Sepanjang mengenali mereka, arwah menjadi tempat keluarganya bergantung memandangkan isterinya tidak bekerja. Ketika hayatnya, arwah mahu dirinya sahaja yang keluar mencari rezeki, manakala isteri pula menguruskan keluarga.

“Menerusi penganjuran konsert ini, diharap kami dapat membantu keluarga arwah sementara isterinya mendapatkan kerja,” katanya kepada BH Online.

DATUK M Nasir antara artis yang akan menjayakan Konsert Kenangan Kelly di Petaling Jaya. - NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

Acis atau nama lengkapnya Hashridz Murshim Hassim tidak bersendirian dalam melunaskan hasrat murni berkenaan apabila usahanya mendapat sokongan padu pelbagai pihak.

“Sebaik sahaja saya membuka mulut mengenai konsert ini, ramai yang menyatakan hasrat ingin terbabit sama. Selain penyanyi dan pemuzik yang rata-ratanya kawan baik arwah, mereka yang berada di balik tabir juga bersedia untuk bekerjasama.

“Saya terharu apabila mereka sedia menghulurkan khidmat secara percuma. Mereka sanggup ketepikan keuntungan demi tujuan murni ini.

“Walaupun ada perkhidmatan yang perlu dibayar seperti kru dan rakaman video, mereka tidak berkira. Harapan saya, konsert ini dapat mencapai matlamatnya,” katanya yang mendapat idea untuk mengadakan persembahan amal itu pada Ramadan lalu.

Meletakkan sasaran kutipan RM100,000, Acis berkata, konsert selama tiga jam itu bakal menampilkan ramai artis terkemuka tanah air seperti Datuk M Nasir, Datuk Khadijah Ibrahim, Datuk Sheila Majid, Datuk Hattan, Datuk Zainal Abidin dan Datuk Afdlin Shauki.

SHEILA, Ammar menimang cahaya mata sulung, Ahad lalu. Foto IG Sheila Abdull

Turut menyatakan persetujuan menjayakan persembahan itu ialah Adibah Noor, Misha Omar, Man Bai, Noh Salleh, Jaclyn Victor, Aizat Amdan, Reshmonu, Hazama, Syamel, Ruffedge, Elvira Arul, Vince Chong, Tomok, Innuendo dan Rithan Deja Voodoo Spells.

Konsert Kenangan Kelly bakal diadakan di The Gasket Ally, Petaling Jaya, pada 28 September ini.

Maklumat mengenai konsert boleh didapati dengan menghubungi talian 019-6665226 (Pam Yahya) atau 012-6786001 (Aida Daud) menerusi aplikasi WhatsApp.

Berita Harian X