Rabu, 14 Ogos 2019 | 6:19pm
PEMENTASAN OlaBola The Musical bakal menjelajah di empat negeri bermula 31 Ogos ini sempena sambutan Hari Kebangsaan. Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Pementasan percuma OlaBola The Musical di empat negeri

KUALA LUMPUR: Selepas dua musim dipentaskan di Istana Budaya, teater OlaBola The Musical bakal menjelajah ke empat negeri sempena sambutan Hari Kebangsaan, bermula 31 Ogos ini.

Penerbit dan pengarah muzikal itu, Puan Sri Tiara Jacquelina, berkata pementasan percuma itu akan berlangsung di Pulau Pinang, Kuching, Sarawak; Kota Kinabalu, Sabah dan Kuantan, Pahang.

“Selepas pementasan musim kedua, saya dapat banyak maklum balas mengatakan, ramai peminat di luar Kuala Lumpur terkilan kerana tidak dapat menonton teater ini.

“Walaupun keinginan menonton ada, disebabkan banyak kekangan, termasuk faktor lokasi yang jauh, selain tidak berkemampuan, hasrat itu terpaksa dipendam.

“Untuk menjadikan impian mereka kenyataan, kami berusaha mencari penaja dan rakan kerjasama, selain mengadakan pertemuan dengan kerajaan negeri.

“Selepas mendapati segala kos dapat ditampung, kami memutuskan untuk mementaskan muzikal ini secara percuma,” katanya pada sidang media OlaBola Merdeka Tour, di sini.

Tiara berkata, pementasan di empat lokasi itu memberi peluang peminat merasai semangat dan kehebatan teater muzikal yang pernah mendapat sambutan hangat, sebelum ini.

“Untuk Pulau Pinang, Kota Kinabalu dan Kuantan, ia dipentaskan dalam versi ‘showcase’ apabila dipadatkan dengan tempoh persembahan selama sejam.

“Penonton di Kuching pula dapat menyaksikan pementasan penuh, sama seperti yang dipentaskan di Istana Budaya,” katanya.

OlaBola Merdeka Tour yang dibawakan oleh Enfiniti (M) Sdn Bhd itu akan bermula di Majestic Theatre, Pulau Pinang, disusuli Stadium Perpaduan Kuching (6 hingga 8 September), Kompleks JKKN Sabah (18 September), sebelum menutup tirai di Auditorium Darul Makmur, RTM Pahang (21 September).

Tiket boleh didapati di lokasi pementasan diadakan. Ia menampilkan lakonan Altimet, Brian Chan, Nabila Huda, Tony Eusoff, Luqman Hafidz dan Iedil Putra.

Berita Harian X