Jumaat, 16 Ogos 2019 | 7:24pm

Tiket ABPBH 32 tunggu pelanggan bertuah Alha Alfa

KUALA LUMPUR: Sebanyak 50 tiket ke malam kemuncak Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32 bakal dimiliki pembeli bertuah set kotak alat solek Borderless keluaran penaja utama acara berprestij berkenaan, Alha Alfa Cosmetics.

Pengasasnya, Datuk Al Halim Mohd Al Fadzil atau lebih dikenali sebagai Alha berkata, maklumat mengenai pengagihan tiket terbabit akan dikongsi dalam masa terdekat.

"Sempena penganjuran ABPBH edisi ke-32 ini, kami mengeluarkan set terbaru, Borderless, yang mengandungi bedak asas, span, bedak tabur dan pemerah pipi.

"Sejajar dengan itu, kami memperuntukkan 50 tiket ke malam kemuncak ABPBH 32 untuk pelanggan bertuah yang mendapatkan set berkenaan.

"Segala maklumat mengenai pembelian produk Borderless akan kami kongsi tidak lama lagi," katanya kepada BH Online ketika ditemui pada majlis pengumuman Top 5 ABPBH 32 di Tamu Hotel & Suites Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Menurut Alha, selain menghangatkan lagi penganjuran anugerah hiburan pilihan peminat paling lama bertahan itu, hadiah istimewa berkenaan juga bagi meraikan pelanggan mereka.

Sementara itu, mengulas senarai finalis setiap kategori dipertandingkan kali ini, Alha berkata, ia di luar jangkaan.

"Senarai calon akhir kali ini memang berbeza dan mengejutkan kerana ia menggabungkan artis muda serta veteran. Pada saya, ia sangat seimbang dan secara tidak langsung mampu menarik peminat pelbagai peringkat usia untuk mengikutinya," katanya.

Tahun kedua berturut-turut menjadi penaja utama ABPBH, Alha Alfa Cosmetics bekerjasama menggerakkan kempen anugerah berkenaan yang dianggap medan terbaik bagi mempromosikan produk keluaran syarikatnya.

Malam kemuncak ABPBH 32 akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 22 September depan.

PENGASAS Alha Alfa Cosmetics, Datuk Abdul Al Halim Mohd Al Fadzil menyampaikan ucapan pada sidang media pengumuman Top 5 ABPBH 32 di Tamu Hotel & Suites Kuala Lumpur. - NSTP/Mahzir Mat Isa
Berita Harian X