Sabtu, 24 Ogos 2019 | 5:52pm
KERETA Nissan X-Trail 2.0L Hybrid sumbangan Edaran Tan Chong Motor (ETCM) Sdn Bhd bakal menjadi hadiah utama pemenang Bintang Paling Popular ABPBH 32. - Foto ihsan ETCM

Nissan X-Trail 2.0L Hybrid hadiah Bintang Paling Popular

ALOR SETAR: Menambahkan kehangatan Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32, pemenang trofi Bintang Paling Popular bakal menerima hadiah utama kereta Nissan X-Trail 2.0L Hybrid sumbangan Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM).

Diumumkan pada program Alha Alfa Cosmetics Mewarnai Siri Jelajah ABPBH 32 di pusat beli-belah Aman Central, di sini, hari ini, kereta bernilai RM160,000 itu bakal menjadi milik calon Top 5 yang menerima undian tertinggi lalu dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular.

Pengumuman hadiah utama itu dibuat hos siri jelajah yang juga penyampai radio Kool FM, Haiza dan Emcee Fuzz di hadapan peminat yang memenuhi ruang legar utama pusat beli-belah berkenaan, seawal jam 10 pagi.

Pengarang Hiburan BH merangkap Timbalan Pengerusi ABPBH 32, Shamshul Azree Samshir, berkata hadiah kereta Nissan X-Trail 2.0L Hybrid pasti merancakkan lagi proses undian peringkat Top 5, yang akan berakhir pada 15 September depan.

"Kita berbesar hati atas kesudian ETCM menghadiahkan kereta Nissan X-Trail 2.0L Hybrid pada edisi ABPBH kali ini.

"Inilah kali ketujuh ETCM bekerjasama dengan ABPBH dengan menghadiahkan kereta kepada pemenang, sejak 2008.

"Hadiah ini pasti menambah keterujaan peminat untuk menyaksikan artis popular yang bakal memandu pulang kereta idaman berkenaan pada malam kemuncak ABPBH 32," katanya kepada BH Online.


SHAMSHUL Azree menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan karaoke sempena siri jelajah ABPBH 32 di Aman Central, Alor Setar, Sharifah Nur Hayati Syed Hamzah. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Proses undian peringkat Top 5 bagi 15 kategori utama dan lima kategori online bermula 20 Ogos lalu sehingga 15 September depan.

Malam kemuncak ABPBH 32 pula akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 22 September.

Berita Harian X