Sabtu, 24 Ogos 2019 | 8:36pm
PENGURUS PayNet, Heliziana Mad Zain (kiri), memberi penerangan kepada orang ramai mengenai perkhidmatan DuitNow pada acara siri jelajah ABPBH 32 di Aman Central, Alor Setar. - NSTP/Eizairi Shamsudin

iPad mini jadi tarikan DuitNow

ALOR SETAR: Kejutan hadiah iPad mini kepada pelanggan bertuah penaja bersama Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 32, DuitNow, merancakkan proses undian dan langganan akhbar digital BH pada siri jelajah kedua di sini, hari ini.

Kaunter promosi DuitNow di pusat beli-belah Aman Central, di sini, tidak putus-putus dikunjungi pelanggan yang mahu mendapatkan maklumat lanjut mengenai sistem langganan dan undian ABPBH 32 melalui DuitNow, sebaik dibuka, pagi tadi.

Tarikan dua iPad mini, ganjaran pakej percutian ke Korea, makan malam bersama pemenang kategori Penyanyi Lelaki dan Wanita Popular DuitNow serta cabutan bertuah hadiah wang tunai RM50 untuk 30 orang, menjadi rebutan pengunjung.

Pengurus PayNet, Heliziana Mad Zain, berkata sambutan pelanggan sangat menggalakkan dengan jumlah transaksi tinggi direkodkan.

"Apa yang mengujakan, selain hadiah dan ganjaran yang menjadi faktor tarikan, kita dapati ramai pengunjung yang berurusan di kaunter DuitNow memiliki kemudahan perbankan Internet.

"Aliran ini dianggap sangat positif, apatah lagi sejak DuitNow menjadi penaja bersama ABPBH 32, tahap kesedaran pengguna terhadap jenama ini semakin meningkat," katanya kepada BH Online.


GERAI DuitNow menjadi tumpuan pengunjung dan peminat ketika siri jelajah ABPBH 32 di Aman Central, Alor Setar. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Heliziana berkata, DuitNow teruja untuk menjayakan satu lagi acara iaitu program santai #FANtastik dan showcase ABPBH 32 di Eco Grandeur, Puncak Alam, Selangor pada 14 September depan.

Berita Harian X