Rabu, 4 September 2019 | 7:10pm
PENGASAS kosmetik Alha Alfa, Datuk Abdul Al Halim Mohd Al Fadzil melancarkan produk terbaru, Borderless, pada sidang media pengumuman Malam Kemuncak ABPBH 32, di Balai Berita NSTP. - NSTP/Zunnur Al Shafiq

Alha Alfa perkenal Borderless sempena ABPBH 32

KUALA LUMPUR: Penaja utama Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 32, Alha Alfa Cosmetics, hari ini melancarkan koleksi kosmetik terbaru, set istimewa Borderless yang mengandungi produk primer, bedak asas, span muka dan pembayang pipi.

Pengasasnya, Datuk Abdul Al Halim Mohd Al Fadzil atau Alha Alfa berkata, produk dihasilkan sempena penganjuran ABPBH edisi ke-32 itu bakal berada di pasaran pada 14 September ini.

“Sebanyak 50,000 set kotak istimewa Borderless akan mula berada di pasaran pada 14 September ini. Mereka yang berminat boleh mendapatkannya melalui pelbagai cara, antaranya dengan mengunjungi ruang pameran Alha Alfa pada program santai kelab peminat #FANtastik dan showcase ABPBH 32 di Eco Grandeur, Puncak Alam, Selangor.

“Mereka juga boleh membelinya di laman web kami, premis perniagaan atau menerusi stokis yang dilantik di seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei.

“Kami juga menawarkan harga cukup rendah iaitu RM199.90 sekotak berbanding harga asalnya RM287,” katanya kepada BH Online.

Tidak terhad kepada pengguna wanita, Borderless juga sesuai untuk golongan Adam yang sangat mementingkan penjagaan wajah dan penampilan.

“Sebagai contoh, produk primer kami sangat sesuai untuk lelaki yang mempunyai kulit wajah berminyak.

“Untuk bedak asas pula, kami mempunyai pelbagai rangkaian warna yang boleh disesuaikan dengan tona kulit. Ia termasuk rona gelap yang sesuai untuk golongan Adam, sekali gus menjadikan wajah mereka lebih kemas dan bergaya,” ujarnya.

Terdahulu, Alha melancarkan produk berkenaan bersempena majlis sidang media mengumumkan pengacara, penyampai trofi dan artis persembahan malam kemuncak ABPBH 32 di Balai Berita, di sini.

ABPBH 32 akan mencapai kemuncaknya pada 22 September ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

373 dibaca
Berita Harian X