Rabu, 4 September 2019 | 8:27pm

AC Mizal, Elly Mazlein janji tak syok sendiri

KUALA LUMPUR: Meraikan pemenang, sekali gus menjadikan Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32 kekal dalam ingatan ramai - itu janji Datuk AC Mizal dan Elly Mazlein sebaik terpilih sebagai pengacara.

AC berkata, dia dan Elly menggalas tanggungjawab berat memastikan kelancaran acara, termasuk memberi keutamaan kepada insan seni yang diraikan dan bukan syok sendiri.

“Kami perlu meraikan kejayaan artis yang menjadi pilihan peminat kerana itu malam mereka. Mungkin saya dan Elly nampak gila-gila di atas pentas, kami perlu bijak mengawal suasana serta perjalanan acara.

“Lumrah dalam penganjuran majlis anugerah, momentum perjalanan pasti ada turun naik. Saya dan Elly perlu peka memahami situasi, selain memastikan matlamat acara tidak tersasar daripada landasan,” katanya pada majlis Prakemuncak ABPBH 32 di Balai Berita, di sini, petang tadi.

Sementara itu, Elly yang kali pertama bergandingan dengan AC mengakui, berbesar hati menggalas amanah untuk mengendalikan acara yang disifatkan sebagai perhimpunan terbesar penggiat seni.

“Saya terima cabaran dengan penuh teruja, apatah lagi dapat bergandingan dengan AC yang berpengalaman luas dalam bidang pengacaraan dan hiburan.

“Saya cuba buat yang terbaik. Meskipun nanti akan tercetus dialog atau aksi spontan, kami tidak lupa untuk mengingati fakta penting dan paling utama, mengiktiraf kejayaan pemenang.

“Peluang bergandingan dengan AC saya anggap sebagai bonus kerana dia tidak lokek berkongsi ilmu dan pengalaman,” katanya.

Bakal dipancarkan secara langsung menerusi TV3 dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 22 September ini, ABPBH 32 menyaksikan gabungan penyanyi legenda dan bakat baharu bagi mengisi slot persembahan.

Pentas ABPBH 32 bakal diserikan dengan kemunculan nama popular seperti Aishah, Liza Hanim, Zizan Razak, Ismail Izzani, Zamaera, SonaOne, Alif, Ernie Zakri dan Idayu.

Turut terpilih membuat persembahan ialah Ariff Bahran, Andi Bernadee, Hazama, Black, Akim Ahmad, De Fam, Stacy dan Sufian Suhaimi.

Sementara itu, penyampai trofi pula membariskan nama popular seperti Ella, Zara Zya, Sharnaaz Ahmad, Tiz Zaqyah, Arslan Butt, Wany Hasrita dan Khai Bahar.

Turut diberikan amanah menjadi penyampai trofi ialah Mimi Lana, Fikry Ibrahim, Amy Mastura, Shuib Sepahtu, Azar Azmi, Azhan Rani, Noorkhiriah, Mustapha Kamal dan Aida Khaleeda selain Pengasas Alha Alfa Cosmetics, Datuk Abdul Al Halim Mohd Al Fadzil atau Alha Alfa.

ABPBH 32 yang mendapat sokongan Alha Alfa Cosmetics selaku penaja utama dan DuitNow sebagai penaja bersama mempertandingkan 13 kategori utama, selain dua kategori baharu, Artis Korea Popular dan Artis Indonesia Popular.

Turut dipertandingkan adalah lima kategori ’Online’, iaitu Artis Sensasi Popular, Gandingan Serasi Drama Popular, Gandingan Serasi Filem Popular, Watak Antagonis Popular dan Lagu Paling Boom.

Acara itu turut memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada anak seni menerusi kategori khas, Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat.

KALI pertama bergandingan, AC Mizal dan Elly Mazlein menjanjikan ABPBH 32 bakal meninggalkan kenangan manis buat peminat hiburan. Foto Zunnur Al Shafiq
Berita Harian X