Jumaat, 13 September 2019 | 1:45pm
IMBAS kembali kemeriahan acara #FANtastik ABPBH 31 yang diadakan di Istana Budaya, tahun lalu. - NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

Jom hangatkan #FANtastik ABPBH 32 esok

KUALA LUMPUR: Pelbagai pengisian menarik menanti acara santai bersama peminat, #FANtastik dan Showcase ABPBH 32 yang akan berlangsung di Eco Grandeur, Puncak Alam, esok.

Dianjurkan bagi menghangatkan Anugerah Bintang Popular (ABPBH) Ke-32, acara yang bermula dari jam 2 petang sehingga 11 malam itu menyaksikan kira-kira 20 kelab peminat artis (FC) berganding bahu memeriahkan suasana.

Selain aktiviti bersama penganjur dan kelab peminat menerusi pelbagai gerai disediakan, #FANtastik turut dimeriahkan dengan showcase istimewa yang membariskan penampilan barisan Top 5 ABPBH 32, bermula jam 8.30 malam.

Mengulas penganjuran #FANtastik, Pengarang Hiburan BH merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengelola ABPBH 32, Shamshul Azree Samshir, berkata usaha menghimpunkan kelab peminat pada acara khusus itu bertujuan menambah kehangatan malam kemuncak anugerah hiburan pilihan peminat paling lama bertahan di Malaysia.

“Selama ini, FC membantu dalam proses undian, selain mengikuti siri jelajah ABPBH. Menerusi acara ini juga, kita dapat mengeratkan lagi hubungan antara artis, kelab peminat dan BH.

“Pelbagai aktiviti disusun, termasuk setiap FC membuka ‘booth’ dan menjalankan acara di gerai masing-masing, selain jualan produk seperti barangan ‘preloved’ artis.

“Pelbagai pengisian yang dirancang, termasuk peluang memenangi tiket ke acara kemuncak ABPBH 32 pasti menjadikan program #FANtastik meriah dan penuh warna-warni,” katanya.

#FANtastik dan Showcase ABPBH 32 bakal dimeriahkan dengan kemunculan barisan finalis seperti Atiq Azman, Adam Lee, Izzue Islam, Haziq Hot FM, Wany Hasrita, Muaz Kool FM, Haneesya Hanee, Iswan Ismail, Floor 88, Afieq Shazwan, Stacy, Ryan Deedat dan Insomniacks.

ATIQ Azman, Adam Lee dan Ryan Deedat akan turut memeriahkan acara #FANtastik ABPBH 32 di Eco Grandeur, Puncak Alam, esok. - NSTP/Aziah Azmee

Selain menyertai aktiviti seperti Ramen Challenge, Zumba dan Tiru Gaya Artis, pengunjung juga berpeluang beramah mesra dan menikmati persembahan artis jemputan seperti Reshma Martin, Baggio, Winnie K, She Pandora, Chubbe, Radhi Khalid, Yana Yunus, Natasha Sass, Zairul Nadzwan, Thalia Rasul serta Lobo Panglima.

Acara itu turut disertai penaja utama ABPBH 32, Alha Alfa Cosmetics dan penaja bersama, Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet), iaitu pengendali perkhidmatan pembayaran elektronik, DuitNow.

Sementara itu, finalis Pelakon TV Lelaki Popular Alha Alfa, Izzue Islam menyifatkan, penganjuran #FANtastik dan Showcase ABPBH 32 memberinya ruang untuk menghargai usaha peminat yang menjadi tulang belakang kekuatan seseorang artis.

IZZUE menyediakan hadiah istimewa buat peminat yang memeriahkan acara #FANtastik ABPBH 32 di Eco Grandeur, Puncak Alam, esok. - NSTP/Nurul Shafina Jemenon

Izzue berkata, dia turut menyediakan hadiah istimewa iaitu barangan koleksi peribadi kepada peminat bertuah yang menyokong acara itu.

“Ia tanda penghargaan kepada peminat, selain menyatakan terima kasih atas sokongan mereka berikan selama ini,” katanya yang turut menjual barangan ‘preloved’ dan produk kecantikan bersama kelab peminatnya, Izzueezers.

Bagi finalis Artis Baharu Wanita Popular, Aina Abdul, peluang itu dimanfaatkan untuk terus mengukuhkan namanya di hati peminat.

“Kelab peminat saya, Ainations, turut membuka gerai jualan, selain menyertai pelbagai program lain untuk menambah kehangatan suasana.

“Melihat kesungguhan mereka, saya tersentuh. Saya akur, nama belum terlalu kukuh, malah ramai yang masih tidak menyedari kehadiran Aina Abdul dalam dunia seni.

“Namun, peluang diberikan BH amat saya hargai. Acara ini menjadi platform untuk saya memperkenalkan diri,” katanya yang bakal menghiburkan peminat dengan dua lagu popularnya, Shadow dan Sumpah.

CALON Artis Baharu Wanita Popular ABPBH 32, Aina Abdul. - NSTP/Aizuddin Saad

Aina menambah, dia juga bakal menjayakan sesi akustik di gerainya sebagai usaha mendekatkan diri dengan peminat.

Berita Harian X