Sabtu, 14 September 2019 | 7:58pm
CALON Top 5 ABPBH 32, Afieq Syazwan, berzumba bersama kelab peminat pada #FANtastik Santai Bersama Peminat dan Showcase ABPBH 32 di Eco Grandeur, Puncak Alam. - NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

FC pamer kehebatan pada #FANtastik ABPBH 32

PUNCAK ALAM: Kelab peminat (FC) Stacy, Team SGS, cemerlang apabila mengungguli pertandingan, Tiru Gaya Artis, selain meraih tempat ketiga zumba sempena acara santai, #FANtastik dan Showcase Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32 di Eco Granduer, di sini, petang ini.

Selain Team SGS, kelab peminat penyanyi, Afieq Shazwan iaitu Afieq Shazwan Fantastic juga menunjukkan kehebatan mereka apabila meraih tempat kedua bagi kedua-dua pertandingan terbabit.

Bagi pertandingan zumba, kelab peminat Adam Lee, Adam Lee Nizers, diangkat sebagai juara, manakala kelab peminat, Atiq Azman, Fanatiq, pula mendapat tempat ketiga dalam pertandingan Tiru Gaya Artis.

Sikap 'sporting' tiga finalis, Haneesya Hanee, Iswan Ismail dan Afieq Shazwan, turut mencuri tumpuan pengunjung acara berkenaan apabila bersama-sama menyertai pertandingan zumba yang bermula pada jam 5 petang.

Sementara itu, kelab peminat Floor 88 dan Baby Shima, iaitu Floorwers serta Baby Shima Crews, menghangatkan lagi suasana pertandingan apabila menjadikan motosikal vespa sebagai ‘props' mengiringi persembahan mereka.


ANTARA gelagat peminat Stacy pada acara #FANtastik Santai Bersama Peminat dan Showcase ABPBH 32 di Eco Grandeur, Puncak Alam. - NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

Selain Floorwers, Baby Shima Crew, Afieq Shazwan Fantastics, Iswan Ismail Force, Adam Lee Nizers dan Haneesya Troopers, kelab peminat lain yang turut menyertai pertandingan terbabit termasuk Khai Bahar Empire, Zahirah MacWilson, Skylovers FC, Janna Nickers, Wany Hasnizers, Miraclegacy dan Izzuezerss.

Antara cabaran lain yang menggamatkan suasana acara promosi anugerah hiburan pilihan peminat paling lama bertahan itu adalah Ramen Challenge.


ANTARA aksi peserta Tiru Gaya Artis pada acara #Fantastik Santai Bersama Peminat dan Showcase ABPBH 32 di Eco Grandeur, Puncak Alam. - NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

Pada acara terbabit, selain berpeluang beramah mesra dengan calon Top 5, pengunjung dan peminat juga dapat menikmati persembahan artis jemputan seperti Reshma Martin, Baggio, Winnie K, She Pandora, Chubbe, Radhi Khalid, Yana Yunus, Natasha Sass, Zairul Nadzwan, Thalia Rasul serta Lobo Panglima.

Aktiviti hiburan bakal diteruskan pada sebelah malam dengan menyaksikan penampilan barisan calon Top 5 ABPBH 32, yang dijadualkan bermula jam 8.30 malam.

Berita Harian X