Sabtu, 16 November 2019 | 5:11pm
SIRI animasi Upin & Ipin mengharumkan nama negara di China.

Upin & Ipin menang di China

KUALA LUMPUR: Siri animasi popular, Upin & Ipin, mengharumkan nama negara apabila memenangi Anugerah Golden Wing bagi kategori Animasi Terbaik di China, Khamis lalu.

Pengiktirafan berkenaan diperoleh naskhah terbitan Les’ Copaque itu pada acara Animation Game Industry Annual Conference & Anime Beijing Awards atau singkatannya BAGIA.

Acara terbabit dianjurkan peneraju dan persatuan syarikat animasi serta permainan video yang beroperasi di sana.

Ketua Pegawai Eksekutif Les’ Copaque, Burhanuddin Md Radzi, berkata kemenangan berkenaan tentu sahaja membakar semangat mereka untuk terus menghasilkan karya bermutu dan mengangkat animasi negara ke peringkat lebih tinggi.

“Kami amat berbesar hati apabila pihak BAGIA memberi penghargaan kepada jenama Upin & Ipin.

“Lebih bermakna dan bertambah berharga apabila kejayaan itu umpama serampang dua mata buat syarikat kami dalam mempromosikan filem Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal, yang akan memasuki pasaran China, awal tahun depan,” katanya ringkas kepada BH Online.


BURHANUDDIN (tiga dari kiri) bersama pemenang lain pada acara Animation Game Industry Annual Conference & Anime Beijing Awards. - Foto ihsan Les’ Copaque

Burhanuddin, yang ditemani isteri dan seorang kakitangannya, turut diundang sebagai penceramah pada acara berkenaan.

Terdahulu, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) turut mengucapkan tahniah kepada produksi terbabit atas kejayaan mereka.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Gobind Singh Deo, dalam kenyataannya menerusi Twitter rasmi turut mengucapkan tahniah atas pencapaian syarikat terbabit, sekali gus berharap usaha dan pencapaian itu dapat diteruskan pada masa akan datang.

Mac lalu, Les’ Copaque menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Beijing Animation and Gaming Industry Association (BAGIA) bagi mewujudkan kerjasama berkaitan industri animasi dan permainan video.


ANUGERAH Golden Wing dimenangi siri Upin & Ipin di Beijing, China, Khamis lalu. - Foto ihsan Les’ Copaque

Kerjasama ini turut membuka peluang dan laluan untuk Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal menembusi pasaran negara itu.

Filem animasi itu, sebelum ini, terpilih mewakili negara untuk bersaing pada kemuncak Asian Academy Creative Awards 2019 (AAA) bagi kategori Filem Cereka Terbaik di Singapura, 5 Disember ini.

Menerusi kategori itu, ia bersaing dengan 15 filem lain dari rantau Asia, termasuk Australia dan New Zealand, bagi merebut trofi emas.

Terdahulu, filem berkenaan tersenarai antara 32 calon bagi kategori Filem Animasi Terbaik, Anugerah Academy Ke-92.

Berita Harian X