Jumaat, 6 Disember 2019 | 3:43pm
KETUA Pegawai Eksekutif FINAS, Ahmad Idham Ahmad Nadzri, pada Majlis Kenaikan Pangkat Pegawai Bersekutu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di Kajang. - NSTP/Azhar Ramli

Saya boleh kembali kepada industri - Ahmad Idham

KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Ahmad Idham Ahmad Nadzri, mengakui masih menjalankan tanggungjawabnya sehingga kenyataan rasmi dikeluarkan berhubung desas-desas dia direhatkan.

Katanya, lebih baik semua pihak menunggu pengumuman Lembaga Perbadanan FINAS atau Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, berhubung spekulasi yang bertebaran sejak awal minggu ini.

“Saya tidak boleh bagi sebarang maklum balas hingga kenyataan rasmi keluar walaupun saya tahu mengenai perkara yang diperkatakan. Jadi, lebih elok kita tunggu sahaja. Cuma bagi saya, ia tidak mendatangkan masalah pun.

“Saya datang untuk membantu industri dan ditawarkan jawatan ini... Bukan saya yang memohon. Saya akan terima segala keputusan dibuat. Saya boleh kembali semula kepada industri. Setakat ini, saya tetap buat yang terbaik selagi diberi amanah.

“Tanggungjawab diteruskan kerana saya masih CEO FINAS. Banyak perkara yang mereka rujuk kepada saya, cuma pergerakan FINAS mungkin ada sedikit perubahan. Itu pun bergantung kepada kenyataan rasmi nanti,” katanya pada majlis pelantikannya sebagai Kolonel oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di Ibu Pejabat APM di Jalan Maktab, Kajang.

Ahmad Idham yang juga pengarah dan penerbit filem berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai khabar angin mengatakan dia dinasihatkan bercuti daripada jawatannya selama tiga bulan, bermula 11 Disember ini hingga 10 Mac tahun depan.

Terdahulu, Ahmad Idham dilantik menggalas jawatan CEO perbadanan berkenaan pada 14 Mac 2019 dengan tempoh pelantikan selama dua tahun.

Berita Harian X