Sabtu, 21 Disember 2019 | 11:03am
Penyanyi, Aishah, bakal menghangatkan musim baharu DFP/MPO dengan konsert solonya. - NSTP/Surianie Mohd Hanif
Penyanyi, Aishah, bakal menghangatkan musim baharu DFP/MPO dengan konsert solonya. - NSTP/Surianie Mohd Hanif

Aishah, M Nasir hangatkan musim baharu DFP

KUALA LUMPUR: Bakal melangkah ke musim baharu pada bulan depan, Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP) dan Orkestra Filharmonik Malaysia atau Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) menyediakan pelbagai pengisian menarik buat penggemar seni muzik.

Bagi musim ke-22 ini, mereka akan menampilkan artis antarabangsa dan tempatan, menerusi persembahan merangkumi pelbagai genre.

Menurut kenyataan dikirimkan kepada BH Online, sejajar dengan matlamat mendekatkan lagi jenama terbabit dengan segenap lapisan masyarakat negara ini, DFP dan MPO memastikan agenda pada musim terbaru lebih inovatif.

Buat penggemar muzik tempatan, nama besar dalam dunia seni, Aishah dan Datuk M Nasir pasti membuatkan mereka tidak sabar untuk memasuki dewan berprestij berkenaan apabila kedua-duanya bekerjasama dengan MPO dalam konsert solo, masing-masing pada April dan Oktober.

Datuk M Nasir akan membuat persembahan di DFP sempena musim baharu pada Oktober tahun depan. - NSTP/Khairul Azhar Ahmad
Datuk M Nasir akan membuat persembahan di DFP sempena musim baharu pada Oktober tahun depan. - NSTP/Khairul Azhar Ahmad

Bagi memeriahkan sambutan Syawal pada Jun pula, persembahan konsert bertemakan Senandung Lebaran menampilkan vokalis hebat akan dihidangkan kepada peminat. Konsert istimewa itu juga adalah bagi menghargai karya hebat komposer terkenal, S Atan.

Bagi penggemar muzik pop dan R&B, mereka pasti enggan melepaskan peluang keemasan menyaksikan konsert Ruffedge secara solo, yang dijadualkan berlangsung pada Mac.

Yayasan Warisan Johor pula akan mempersembahkan konsert bertemakan Malam Ritma Keroncong, khas untuk peminat irama berkenaan pada Oktober.

Sementara itu, Orkestra Filharmonik Remaja Malaysia atau Malaysian Philharmonic Youth Orchestra (MPYO) akan membuat kelainan dengan berkolaborasi bersama kumpulan jazz terkemuka Indonesia, Krakatau, dan kumpulan indie tempatan, Hujan, masing-masing pada Februari dan Julai.

Musim terbaru juga akan menyaksikan kehadiran Kees Bakels selaku Konduktor Laureate. Beliau ialah Pengarah Muzik pertama MPO dan menjadi tulang belakang penubuhan orkestra berkenaan pada 1998.

Bersempena ulang tahun kelahiran Beethoven yang ke-250 pula, karya agungnya akan dipersembahkan bersama gesekan biola pemuzik Amerika Syarikat, Karen Gomyo dan pemain piano tempatan, Ng Chong Lim.

Festival Balet juga diteruskan buat kali keempat dengan menyajikan karya The Nutcracker dan Cinderella pada Jun nanti. Ia pernah dipersembahkan di pentas sama pada 2013, 2016 dan 2018.

Persembahan bertemakan Cirque de la Symphonie akan turut dianjurkan, Februari depan. Ia adalah kesinambungan persembahan Cirque pada 2015 dan 2018.

Musim ke-22 DFP dan MPO juga menampilkan buat julung kali persembahan penyanyi soprano, Fleur Barron; pemain piano, Lukas Vondracek; dan pemain biola, Marc Bouchkov serta Clara-Jumi Kang.

Tokoh muzik klasikal yang akan kembali ke podium DFP pula termasuk konduktor Fabio Mechetti, Roberto Gonzalez dan Junichi Hirokami. Tidak ketinggalan membuat penampilan ialah pemain seruling, Sharon Bezaly; pemain cello, Istvan Vardai; dan pemain ‘horn’, Radovan Vlatkovic.

Duta Remaja MPO dan pemain piano, Tengku Irfan, juga bakal kembali mengagumkan peminat melalui konsert bersama MPO, Jun depan.

Peminat boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai persembahan berkenaan di www.mpo.com.my.

Berita Harian X