Khamis, 16 Januari 2020 | 10:32pm
Dokumentari St Louis Superman karya dua penerbit dari Malaysia tercalon pada Anugerah Akademi 2020.

Dokumentari karya anak Malaysia calon Anugerah Akademi 2020

KUALA LUMPUR: Pencalonan bagi anugerah berprestij, Anugerah Akademi 2020 yang diumumkan Isnin lalu memberi kejutan kepada dua penerbit dari Malaysia apabila St Louis Superman tersenarai dalam lima karya terbaik untuk kategori Best Documentary Short Subject.

Berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Teng Poh Si dan Cheyenne Tan dengan penuh emosi mengakui tidak meletakkan harapan tinggi terhadap hasil karya mereka itu kerana menyedari saingan hebat daripada dokumentari lain yang pernah meraih anugerah.

Mengimbas hari pencalonan Anugerah Akademi 2020 diumumkan, Tan, anak kelahiran Kuching, Sarawak mengakui enggan meletakkan harapan tinggi kerana tidak mahu kecewa.

“Saya berusaha keras untuk mengurangkan jangkaan serendah yang boleh agar lebih mudah menerima kekecewaan.”

“Mula-mula lega, kemudian dipenuhi emosi berbeza pula. Syukur... Tak sangka, bangga,” katanya kepada BERNAMA menerusi Facebook Messsenger.

Sementara itu, di Washington DC, anak kelahiran Pulau Pinang, Teng Poh Si tersentak emosi, terkejut sehingga mengalirkan air mata sebaik judul dokumentari St Louis Superman diumumkan bersama pencalonan lain. Empat karya lain adalah The Absence; Learning To Skateboard In A Warzone (If You’re A Girl); Life Overtakes Me dan Walk Run Cha-Cha.

“Saya tanya pasangan saya, Mayank sama ada dia mahu menonton pengumuman itu bersama saya. Sebaik pengacara membacakan calon bagi dokumentari subjek pendek terbaik itu, Mayank merakam detik-detik bersejarah itu ketika saya rasa bagai hampir habis nyawa,” Teng mengimbas detik awal pengumuman pencalonan itu yang segar dalam ingatannya.

St Louis Superman adalah dokumentari 25 minit terbitan MTV dan AJE Witness mengisahkan seorang aktivis, Bruce Franks Jr yang menjadi wakil di St Louis, Missouri pada 2016.

Filem ini memaparkan kesukaran perjuangan aktivis itu dalam usaha meluluskan rang undang-undang yang penting untuk melindungi komuniti selain usaha beliau mengatasi trauma peribadi.

Tan dan Teng turut memberi penghargaan kepada Franks Jr dan pengarah dokumentari itu, Smriti Mundhra dan Sami Khan yang berjaya menggarap St Louis Superman menjadi sebuah hasil seni yang memberi kesan mendalam kepada komuniti.

“Saya bangga dengan seluruh pasukan pembikinan filem ini dan semua yang berkerja keras menjayakannya. Sejujurnya, saya tidak tahu sebesar mana impak dan kepentingannya, jika sudah saya mungkin perlu berehat sedikit,” kata Tan.

Biarpun menetap di AS, kedua-dua penerbit ini cukup bangga menjadi rakyat Malaysia yang mampu menonjolkan nama negara.

“Pada saat-saat seperti ini, penting untuk imbas kembali betapa jauh kami datang bersama-sama dari Malaysia. Ia yang pertama buat Cheynne dan saya. Ia juga yang pertama buat negara kita,” kata Teng sambil menambah tidak kira apa sahaja yang berlaku, ia menunjukkan kepada rakyat Malaysia tiada yang mustahil.

Malam Gala Academy akan berlangsung di Los Angeles (LA) pada 9 Februari depan. - BERNAMA

Berita Harian X