Isnin, 27 Januari 2020 | 3:01pm
Billie Eilish bersama lima trofi termasuk empat kategori utama yang dimenanginya pada Anugerah Grammy Ke-62 yang disiarkan secara langsung dari Staples Centre, Los Angeles. Foto REUTERS
Billie Eilish bersama lima trofi termasuk empat kategori utama yang dimenanginya pada Anugerah Grammy Ke-62 yang disiarkan secara langsung dari Staples Centre, Los Angeles. Foto REUTERS

Billie Eilish rangkul lma trofi Anugerah Grammy Ke-62

LOS ANGELES : Penyanyi remaja, Billie Eilish melakar sejarah apabila menjadi penyanyi termuda memenangi lima trofi termasuk empat kategori utama pada Anugerah Grammy ke-62 yang disiarkan secara langsung ke seluruh dunia dari Staples Centre di sini, hari ini.

Bintang sensasi berusia 18 tahun itu merangkul lima trofi daripada enam pencalonan yang diterima termasuk Rekod Terbaik, Album Terbaik, Lagu Terbaik, Artis Baharu Terbaik dan Album Pop Vokal Terbaik.

Kejayaannya itu mencetuskan fenomena apabila album sulung berjudul When We All Fall Asleep, Where Do We Go?, berjaya menewaskan pesaing yang bukan calang-calang pada acara anugerah yang penuh gilang gemilang itu.

Misalnya, bagi kategori Album Pop Vocal terbaik pencabar Eilish adalah Beyonce yang mempertaruhkan album The Lion King : The Gift; Ariana Grande (Thank U, Next); Ed Sheeran (No 6 Collaborations Project) dan Taylor Swift (Lover).

Ketika berucap sebaik menerima trofi Rekod Terbaik, Eilish yang sering bergaya esentrik itu berkata, kejayaan itu bagaikan sebuah mimpi.

“Saya tidak pernah terbayang perkara ini akan berlaku dalam hidup saya. Ketika mula-mula terjun dalam bidang ini, saya buat untuk suka-suka dan tidak menganggapnya sebagai sesuatu yang serius.

“Dengan penuh keikhlasan, saya ingin mengucapkan rasa syukur dan rasa bangga apabila dapat berada di pentas ini,” katanya.

Pada 2013, penyanyi Lourde pernah meraih anugerah yang serupa apabila lagu ciptaannya berjudul Royals meraih anugerah Lagu Terbaik.

Album studio Eilish, When We All Fall Asleep, Where Do We Go? dipasarkan tahun lalu, mengungguli carta Billboard 200 dan menjadi produk muzik paling mendapat sambutan tahun lalu. Album itu mengandungi enam single yang bolos carta Billboard Hot 100 Top 40.

Single itu adalah When the Party's Over; Bury a Friend; Wish You Were Gay; Xanny; Everything I Wanted dan Bad Guy yang juga dinobatkan sebagai Lagu Terbaik pada acara anugerah yang paling beprestij itu.

Sementara itu, saingan terdekatnya, penyanyi R&B, Lizzo meraih tiga anugerah pada malam kemuncak Anugerah Grammy.

Lizzo yang mendapat lapan pencalonan memenangi kategori Persembahan Tradisional R&B Terbaik untuk lagu Jerome; Album Urban Kontemporari Terbaik bagi album Cuz I Love You serta Persembahan Pop Solo Terbaik menerusi lagu Truth Hurts.

Turut melakar sejarah dalam anugerah itu adalah penyanyi legenda irama country, Tanya Tucker apabila berjaya meraih anugerah Grammy pertama buatnya sepanjang separuh abad bergelar anak seni

Tucker, 61 meraih kemenangan untuk kategori Lagu Country Terbaik, Bring My Flowers Now dan Album Country Terbaik (While I’m Livin).

Acara anugerah yang menghimpunkan seluruh penggiat muzik itu turut memberi penghormatan kepada legenda bola keranjang terkenal, Kobe Bryant yang meninggal dunia selepas helikopter yang dinaiki bersama anaknya, terhempas di California, awal pagi tadi.

Persembahan menyentuh hati dan penuh emosi itu dimulakan Alicia Keys yang juga bertindak sebagai pengacara majlis. Bersama Boyz II Men, mereka menyampaikan lagu It's So Hard to Say Goodbye to Yesterday secara acapella.

Penyanyi lain yang turut membuat persembahan adalah Aerosmith, Camila Cabello, Eilish, Ariana Grande, H.E.R., Jonas Brothers, John Legend, Lizo, Demi Lovato, Bonnie Raitt, Run DMC, Blake Shelton, Gwen Stefani, Tyler, The Creator dan kumpulan K-pop terkenal, BTS. - Agensi

Keputusan Anugerah Grammy 2020

Rekod Terbaik: Bad Guy (Billie Eilish)

Album Terbaik: When We All Fall Asleep Where Do We Go? (Billie Eilish)

Artis Baharu Terbaik: Billie Eilish

Persembahan Rock Terbaik: This Land (Gary Clark Jr)

Lagu Terbaik: Bad Guy (Billie Eilish)

Album Country Terbaik: While I'm Livin (Tanya Tucker)

Album Rap Terbaik: Igor (Tyler, The Creator)

Persembahan Duo/Berkumpulan Pop Terbaik: Old Town Road (Lil Nas X menampilkan Billy Ray Cyrus)

Kolaborasi Rap/Nyanyian Terbaik: Higher (DJ Khaled menampilkan Nipsey Hussle & John Legend)

Album Pop Vokal Tradisional Terbaik: Look Now (Elvis Costello & The Imposters)

Album Pop Vokal Terbaik : When We All Fall Asleep, Where Do We Go? (Billie Eilish)

Persembahan Solo Pop Terbaik: Truth Hurts (Lizzo)

Lagu Rap Terbaik: A Lot (Jermaine Cole, Dacoury Natche, 21 Savage & Anthony White)

Album Muzik Alternatif Terbaik: Father of the Bride (Vampire Weekend)

Album Rock Terbaik: Social Cues (Cage The Elephant)

Persembahan Rap Terbaik: Racks in the Middle( Nipsey Hussle, Roddy Ricch dan Hit-Boy)

Lagu Rock Terbaik: This Land (Gary Clark Jr)

Persembahan Metal Terbaik : 7empest (Tool)

Persembahan Rock Terbaik : This Land (Gary Clark Jr)

Album R&B Terbaik: Ventura (Anderson Paak)

Album Kontemporari Urban Terbaik: Cuz I Love You (Deluxe) (Lizzo)

Persembahan Tradisional R&B Terbaik : Jerome (Lizzo)

Persembahan R&B Terbaik: Come Home (Anderson .Paak & André 300)

Lagu R&B Terbaik: Say So ( Pj Morton)

Persembahan Duo/Berkumpulan Country Terbaik : Speechless (Dan + Shay)

Lagu Country Terbaik: Bring My Flowers Now (Tanya Tucker)

Persembahan Solo Country Terbaik: Ride Me Back Home (Willie Nelson)

Album Rock Latin Urban atau Alternatif Terbaik : El Mal Querer (Rosalía)

Album Pop Latin Terbaik: #ELDISCO (Alejandro Sanz)

Berita Harian X