Sabtu, 15 Februari 2020 | 5:40pm
Kru produksi dan pekerja belakang tabir kini boleh mencarum SKSPS yang diperkenalkan sejak 1 Januari lalu. Gambar Hiasan. Foto NSTP/Sairien Nafis
Kru produksi dan pekerja belakang tabir kini boleh mencarum SKSPS yang diperkenalkan sejak 1 Januari lalu. Gambar Hiasan. Foto NSTP/Sairien Nafis

Artis, kru disaran carum SKSPS

KUALA LUMPUR: ‘Malang tidak berbau, segeralah mencarum dengan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).’

Itu pesanan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kepada anak seni termasuk kru dan pekerja belakang tabir yang belum mendaftar di bawah inisiatif baharu, SKSPS yang mula diperkenalkan pada 1 Januari lalu.

Dengan caruman serendah RM13.10 sebulan atau RM157.20 setahun, pencarum boleh menikmati lapan faedah yang disediakan.

Ini merangkumi faedah perubatan; hilang upaya sementara; hilang upaya kekal; elaun layanan sentiasa; faedah orang tanggungan; pengurusan mayat; kemudahan pemulihan jasmani atau vokasional dan faedah pendidikan.

Ketua Bahagian SKSPS, Azhar Md Nadzri berkata, PERKESO menggesa penggiat seni dan golongan yang bekerja sendiri mencarum SKSPS kerana kemalangan boleh berlaku pada bila-bila masa.

“Saya meminta penggiat seni dan kumpulan dari 18 sektor pekerjaan sendiri seperti penjaja, peniaga, nelayan, petani dan sesiapa saja yang bekerja sendiri agar mencarum SKSPS.

“Ini kerana malang tidak berbau. Saya yakin ramai antara mereka yang bekerja sendiri tidak mampu membeli polisi insuran kerana faktor kewangan.

“Jadi, ambillah peluang kemudahan yang disediakan PERKESO kerana caruman yang dikenakan sangat berpatutan,” katanya kepada BH Online.

Azhar ditemui selepas sesi taklimat antara PERKESO dan ahli Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) serta penggiat seni di Wisma PERKESO di sini, hari ini.

Antara penggiat seni yang hadir termasuk Presiden SENIMAN, Zed Zaidi; Timbalan Presiden, Zuraini Kassim dan artis tempatan antaranya Ebby Yus, Sathiya, Shidee dan ramai lagi.

Azhar berkata, pencarum SKSPS bukan sahaja mendapat manfaat ketika hidup, malah faedahnya dinikmati waris.

“Waris pencarum mendapat manfaat selepas ahli meninggal dunia,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden SENIMAN, Zuraini Kassim berkata, pihaknya akan mempromosikan SKSPS kepada lebih 7,000 ahli melalui media sosial.

Zuraini berkata, SENIMAN juga akan menganjurkan pelbagai aktiviti bersama PERKESO bagi meningkatkan kesedaran anak seni mencarum SKSPS.

Berita Harian X