Rabu, 19 Julai 2017 | 12:04am

Setahun Raja Ilya timbang tawaran filem dedah tubuh

SEPERTI dijangka, saat pelakon jelita ini mengaku bakal tampil seksi dengan babak menggiurkan dalam projek filem adiwira Hollywood, Raja Ilya dikecam netizen.

Dilempar pelbagai tuduhan termasuk membelakangkan agama, aktres berusia 32 tahun ini bagaimanapun sedia dihentam dengan komen negatif biarpun mungkin boleh menjejaskan reputasi dirinya.

Bagi Ilya, lumrah menjadi selebriti, setiap kali dihambat kontroversi, pasti ramai yang mahu menambah kehangatannya dengan komen pedas hingga ada kalanya, luah wanita tinggi lampai ini, mengguris perasaan.

Namun, mungkin ramai tidak tahu, Ilya mengambil masa hampir setahun untuk memikirkan impak yang bakal berlaku terhadap karier dan dirinya sebelum menerima tawaran produksi Hollywood itu.

Lebih penting, bintang filem Suamiku Encik Perfect 10 ini beroleh sokongan keluarga untuk mengembangkan bakat di luar negara. Malah, Ilya berpegang kepada kepercayaan ibu bapa untuk membawa nama baik keluarga.

RAJA Ilya. - Foto Aziah Azmee
RAJA Ilya. - Foto Aziah Azmee

RAJA Ilya. - Foto Aziah Azmee
RAJA Ilya. - Foto Aziah Azmee

"Saya ambil masa hampir setahun untuk menyiapkan minda dan emosi berdepan dengan isu sensitif seperti ini. Saya sudah bersedia dengan apa saja kutukan dan kritikan yang akan saya terima... Semuanya saya ambil sebagai positif.

"Sebagai ibu bapa, mereka semestinya bangga dan menyokong peluang yang saya peroleh ini. Hakikatnya, sekarang bukan usia mereka untuk mengajar anak apa yang perlu dipakai.

"Malah, mereka tidak meletakkan garis panduan untuk saya bawa ke luar negara sebab ibu bapa percayakan saya. Saya ditugaskan syarikat produksi terbabit untuk membawa watak sedemikian. Ini menjadi tanggungjawab saya.

"Ini dianggap rezeki walaupun memerlukan saya berpakaian seksi dan berlakon hingga dikecam, namun ia tidak bermakna rezeki yang saya dapat adalah haram.

"Bagi saya, rezeki itu halal asalkan dihasilkan melalui titik peluh sendiri daripada melakukan benda tak senonoh seperti mengambil duit haram. Jadi lebih baik kita buat benda yang kita suka dan dapat duit halal," katanya kepada BH Plus.

Sehubungan itu, dalam berdepan reaksi penonton yang bakal melihat aksinya dalam filem adiwira itu, Ilya meletakkan pemahaman penonton terhadap penceritaan sebagai benteng untuk dirinya tidak dijadikan topik perdebatan.

Tak lupa pegangan agama

RAJA Ilya. - Foto Aziah Azmee
RAJA Ilya. - Foto Aziah Azmee

Menganggap tawaran produksi Hollywood itu sebagai peluang keemasan melebarkan sayap ke luar negara, Ilya tetap berpegang kepada ajaran agama biarpun impiannya tinggi mencapai langit.

Tidak mahu menjadikan pegangan agama sebagai topik perdebatan dalam isu berkenaan, Ilya mengambil pendekatan tidak terlalu terbuka bercakap mengenai aksinya dalam filem yang dikatakan bakal diterbitkan Marvel itu.

"Di Malaysia, sejak tahun 1970, era 1990-an hinggalah sekarang, sudah ada filem yang menampilkan watak seksi. Tetapi tidaklah timbul isu sensitiviti mengenai pemakaian dan pembawaan watak yang agak agresif.

"Semua itu sudah ada sejak zaman Allahyarham Tan Sri P Ramlee lagi. Cuma sekarang, apabila rakyat Malaysia semakin maju, mereka berfikiran sebaliknya dan tak boleh lagi menerima perkara itu," katanya.

Ilya berkata, realitinya, apa yang dipaparkan adalah lakonan dan hiburan semata-mata.

RAJA Ilya membuat 'art coffee' di kafe miliknya Richiamo Coffee By Raja Ilya di UIA Gombak. - Foto Aziah Azmee
RAJA Ilya membuat 'art coffee' di kafe miliknya Richiamo Coffee By Raja Ilya di UIA Gombak. - Foto Aziah Azmee

"Kami adalah penghibur dan tugas kami untuk menghiburkan penonton. Jika mereka fikir penampilan saya tidak menghiburkan, mungkin di persada luar dengan layar yang lebih besar, mereka boleh terima dengan penampilan saya yang tidak berhijab.

"Di Malaysia, mungkin orang akan menghukum pelakon yang tidak berhijab dengan watak seksi. Sebaliknya, kami dalam televisyen berbeza dengan penampilan di luar. Tak semestinya kami jahat dan seksi di televisyen (TV), itulah karektor sebenar kami di luar.

"Semua itu hanyalah lakonan. Sebagai pelakon, kita tak boleh bagi netizen atau rakyat Malaysia faham. Ini kerana ia datang dari dalam diri mereka sendiri," katanya.

Mengulangi pendiriannya, Ilya berkata, sebagai umat Islam, dia tahu batas yang perlu dipatuhi sebagai muslimah.

"Ada perkara yang memerlukan saya berkorban. Cuma jangan sentuh pasal agama.

"Saya perlu jelaskan kepada produksi bahawa diri ini separuh India dan Malaysia. Namun, mereka tahu, saya adalah seorang Muslim dari Malaysia," katanya.

Walaupun sibuk mencari tapak di luar negara, Ilya tidak sesekali melupakan industri seni tempatan yang membawa namanya ke persada antarabangsa.

Buktinya, Ilya akan muncul dengan dua filem iaitu Luqman dan KL Vampire yang sudah sekian lama dinantikan.

Ilya yang ditemui di kafe kedua miliknya, Richiamo Coffee by Raja Ilya di Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Gombak memberitahu, dua lagi filem akan dibintanginya termasuk dengan Skop Production, tahun ini.

Kaji pencapaian bintang Asia di luar negara

RAJA Ilya melayan pelanggan di kafe miliknya Richiamo Coffee By Raja Ilya di UIA Gombak. - Foto Aziah Azmee
RAJA Ilya melayan pelanggan di kafe miliknya Richiamo Coffee By Raja Ilya di UIA Gombak. - Foto Aziah Azmee

Mengenali seorang pereka aksi ngeri dari Indonesia yang terbabit dalam filem KL Vampire, Ilya dibawa bertemu ejen dari Hollywood yang mencari pelakon filem aksi adiwira terbabit.

"Saya diminta bertemu dengan mereka di Jakarta. Selepas berbincang, saya terus ditawarkan untuk berlakon dalam filem Hollywood terbabit," katanya.

Sebelum itu, Ilya menambah, dia merujuk kepada semua pelakon Asia yang melebarkan sayap di Hollywood berhubung penguasaan bahasa Inggeris mereka.

"Saya beritahu mereka saya boleh berbahasa Inggeris ala Asia seperti Priyanka Chopra dan Deepika Padukone. Itu membuatkan mereka tertarik menawarkan peluang itu kepada saya kerana mahukan wajah Asia," katanya.

Mengenai pembukaan kafe kedua Richiamo Coffee by Raja Ilya di Varsity Mall, Universiti Utara Malaysia (UUM), Ilya berkata, ada tiga cawangan lagi akan dibuka termasuk di Subang Skypark dan Genting Highlands.

Info>

  • * Mula membabitkan diri dalam bidang seni sejak tujuh tahun lalu.
  • * Sudah membintangi lebih 20 drama dan telefilem serta lima filem.
  • * Fasih berbahasa Tamil, pernah ditawarkan membintangi filem dari India berjudul Biriyani. Dia juga pernah membintangi drama Tup Periyum Pulli dan Agguran.
  • * Pernah mencuba bakat dalam bidang nyanyian apabila menyertai program realiti televisyen (TV), Gempak Superstar.
Berita Harian X