Khamis, 20 Julai 2017 | 6:22pm
AKTRES jelita, Fasha Sandha. - Foto Mahzir Mat Isa
FASHA menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri anjuran syarikat pengurusannya, Mind Order Management di sebuah restoran di Hulu Klang, malam tadi. - Foto mahzir Mat Isa

Fasha tak balas ucapan rindu

KUALA LUMPUR: Aktres jelita, Fasha Sandha semakin terbuka berbicara soal hati apabila memberi petanda hubungan dengan seseorang yang rapat dengannya kini memasuki fasa rindu.

Akui Fasha, jika sebelum ini mereka hanya mengucapkan selamat pagi dan malam, kini keadaan lebih intim biarpun dirinya tidak memberi balasan apabila si dia mengungkapkan kata rindu.

Malah, akui ibu tunggal kepada dua cahaya mata itu lagi, bukan bermakna mereka sudah bercinta, sebaliknya Fasha memberi sempadan dalam hubungan sekadar status teman rapat itu.

"Sebelum ini, saya ada cakap kami berkawan rapat dan belum ke arah bercinta. Cuma, sekarang fasa hubungan itu adalah sudah berani cakap rindu. Tetapi apabila dia kata rindu, saya tidak terus balas. Kenalah jual mahal sikit kerana kita ini wanita.

"Apa pun, sekurang-kurangnya ada teman istimewa untuk ucap selamat pagi dan selamat malam di aplikasi WhatsApp. Hendak kata hati saya sudah dimiliki pun belum lagi," katanya.

Tambah Fasha, dia selesa berkawan dengan lelaki terbabit kerana si dia sukakan kanak-kanak.

"Bagi saya anak-anak saya adalah keutamaan, melebihi segala-galanya. Syukur dia menerima anak-anak saya dengan baik," katanya.

Masih berteka-teki mengenai identiti lelaki yang rapat dengannya, ulas bintang Lara Aishah itu lagi, si dia bukanlah insan dikenali ramai, sebaliknya orang biasa yang berstatus solo.

Fasha yang berusia 33 tahun pernah bergelar isteri kepada ahli perniagaan Rizal Ashram Ramli atau Jejai, 41, pada 27 April 2012. Namun, mereka bercerai pada Januari tahun lalu.

Perkahwinan mereka dikurniakan dua cahaya mata, Putra Rayfal, 4, dan Putri Raysha Jemaima, 3.

Malam tadi, Fasha menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri anjuran syarikat pengurusannya, Mind Order Management di sebuah restoran di Hulu Klang, dekat sini.

Berita Harian X