Jumaat, 28 Julai 2017 | 12:01am
PESERTA Gegar Vaganza musim ketiga, Intan Sarafina. - Foto Muhammad Sulaiman
INTAN pernah aktif dalam dunia lakonan. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Suami minta Intan pasang pengurus

PADA zaman kemuncak popularitinya, sekitar awal tahun 2000, Intan Sarafina belum lagi mendirikan rumah tangga.

Bagaimanapun, selepas berkahwin pada 2008 dan menimang cahaya mata, Intan mula memperlahankan pecutan kerjaya nyanyiannya.

Secara perlahan-lahan juga, dirinya menghilang daripada radar seni.

Bagaimanapun selepas anak-anak semakin membesar, pemilik nama Ungku Intan Sarafina Ungku Yahya ini kembali ke dunia muzik dengan langkah awal menyertai program realiti, Gegar Vaganza musim ketiga. Dan, ketika itulah, si suami, Iskandar Ezzahuddin Ahmad Zulkiflee, 41, kelihatan saban minggu menemani isterinya beraksi.


INTAN Sarafina bersama keluarga. - Foto ihsan pembaca

Justeru, apabila Intan dilihat semakin aktif dan bakal muncul dengan single terbaru, bulan depan, timbul pertanyaan apakah suaminya kekal menguruskan kerjaya wanita jelita ini. Jika sebaliknya, apakah ada syarat perlu dipatuhi Intan memandangkan statusnya sebagai isteri dan juga ibu?

Menjawab pertanyaan itu, penyanyi berusia 36 ini menjelaskan, tiada sebarang syarat yang dikenakan suaminya. Cuma sebagai isteri dan ibu, dia harus bijak membahagikan waktu serta menjaga batasan, sesuai dengan status disandangnya sekarang.

"Ketika saya masih bersaing dalam GV3, kehadiran suami saban minggu sekadar menemani, selain memberikan sokongan terhadap kerjaya isterinya. Kehadirannya juga menjadi pendorong untuk saya. Dia juga sebenarnya banyak memberikan komentar terhadap persembahan saya.

"Apabila saya kembali aktif, dia lebih selesa membiarkan kerjaya saya diurus oleh pihak pengurusan dan dia takkan masuk campur. Saya sendiri selesa dengan cara sebegini," katanya kepada BH.

Masih kekal melodi mendayu


PENYANYI, Intan Sarafina. - Foto Zunnur Al Shafiq

Seperti yang pernah diuar-uarkan sebelum ini, Intan sudah pun selesai merakamkan tiga lagu. Ketika ini, tinggal lagi dua lagu untuk dirakam sebelum dirinya muncul dengan album mini, sekitar November depan.

Lagu yang sudah pun siap dirakam itu masing-masing berjudul Di Awan Rindu ciptaan Tam Spider, Jika Aku Untukmu (Amylea AF) dan sebuah lagi hasil ciptaan Ippo Hafiz yang belum berjudul.

"Kami memilih lagu Jika Aku Untukmu sebagai single pertama dan ia akan mula menemui peminat bulan depan. Lagu itu sesuai dengan imej saya dan melodinya masih mendayu-dayu.

"Pengalaman merakamkan lagu di studio memang berbeza. Maklum sajalah, saya pun sudah lama tidak masuk ke studio rakaman, jadi suasananya sangat berlainan berbanding dulu. Paling ketara, semuanya menggunakan komputer.

"Selain suasananya yang tidak lagi sama, rakaman kali ini lebih meyakinkan kerana saya juga ada masuk kelas vokal di bawah bimbingan penyanyi Syafinaz. Dengan memasuki kelas, sedikit sebanyak ia turut memantapkan suara saya. Baru saya tahu, vokal saya boleh menjadi dinamik dengan menggunakan teknik nyanyian yang betul," katanya.

Imej lebih segar


INTAN bakal tampil dengan imej lebih segar dan nampak lebih matang. - Foto Helmy Mohd Din

Sempena kemunculan single terkini, Intan juga bakal tampil dengan imej lebih segar dan sesuai statusnya ketika ini.

"Dulu imej Intan lebih kepada remaja, tetapi kali ini, selepas berbincang dengan pihak label, mereka mahu Intan tampil lebih segar dan nampak lebih matang. Tunggulah nanti bagaimana hasilnya," ujar Intan dalam nada teruja.

Mungkin ramai yang tidak tahu, penyanyi berasal dari Johor ini pernah aktif dalam dunia lakonan. Dia pernah membintangi filem Janji Diana pada 2003.

Sebaik saja tamat program GV3, Intan juga pernah berlakon sebuah telefilem berjudul Misteri Sofa Lama bersama penyanyi Zarul Umbrella.

Walaupun turut meminati bidang lakonan, namun kata Intan, dia terpaksa memilih kerana baginya, nyanyian masih menjadi keutamaan.

"Saya masih minat berlakon, cuma saya kena pilih watak dan juga kesesuaian masa. Kalau drama bersiri yang menuntut masa cukup panjang, saya memang tidak boleh nak bagi komitmen. Kalau telefilem yang penggambarannya tidak mengambil masa lama, saya akan pertimbangkan," terangnya.

INFO

  • Dilahirkan dengan nama Ungku Intan Sarafina Ungku Yahya di Stulang Darat, Johor, pada 2 Julai 1981.
  • Pernah popular dengan lagu Kembali, Duhai Malam dan Selamanya.
  • Berkahwin dengan Iskandar Ezzahuddin Ahmad Zulkiflee pada 2008.
  • Bakal muncul dengan album mini yang mengandungi lima lagu, November depan.
  • Lagu Jika Aku Untukmu ciptaan Amylea dipilih menjadi single pertama.

Berita Harian X