Isnin, 31 Julai 2017 | 5:41pm
SERINA bersama anak-anak.- Foto ihsan instagram serinaredzuawan

Kami bukan mahu berebut anak - Serina

KUALA LUMPUR: Pelakon, Serina Redzuawan, 34, terkilan dengan beberapa pihak yang menuduh beliau mengabaikan tanggungjawab sebagai ibu ekoran pemberian hak jagaan sementara anak-anak kepada suami, Gavin Edward O'Luanaigh.

Menurut Serina, ada sebab beliau membuat keputusan sedemikian dan masing-masing bersepakat menjaga dua cahaya mata mereka dengan cara tersendiri.

"Terlebih dulu saya nak maklumkan, saya dan Gavin tidak bergaduh, apatah lagi mahu berebut anak. Kami bersepakat untuk menjaga anak-anak bersama.

"Memandangkan siang hari dia bekerja mengikut waktu pejabat, maka saya akan menguruskan anak-anak, termasuklah hal sekolah, mengaji dan sebagainya.

"Pada waktu malam pula, Gavin yang akan uruskan mereka. Dia minta anak-anak bermalam di rumah asal kami kerana bilik mereka baru saja diubah suai. Salah ke?

"Bukannya saya lepas tangan tinggalkan anak-anak. Masya-Allah, fitnah cukup besar disebarkan. Jawablah di akhirat nanti. Saya masih rasional dan tahu tanggungjawab menjaga mereka," tegasnya.

Pasangan terbabit kini menjalani prosiding perceraian yang difailkan oleh Serina, sejak April lalu.

Serina dan Gavin atau nama Islamnya Salahudin Ghafar bernikah pada 1 Januari 2010 dan dikurniakan dua cahaya mata, Tristan Tareef, 7, serta Isabella Saffiya, 5.

Anak kepada tukang masak selebriti, Chef Wan, itu turut menegaskan Gavin belum mendapat hak jagaan sepenuhnya dan mereka perlu berhati-hati dalam menjaga emosi anak-anak buat masa ini.

Terdahulu, Chef Wan atau Datuk Redzuawan Ismail memuat naik kenyataan di Instagram miliknya meluahkan rasa terkejut beliau apabila Serina bersetuju melepaskan hak jagaan kedua-dua anaknya kepada Gavin.

Katanya, beliau sedih kerana Serina tidak mendengar nasihatnya dengan mengambil peluang sebagai ibu meletakkan hak jagaan anak kepada aktres itu.

"Saya menawarkan untuk tinggal di rumah saya di Ampang, memandangkan ia tidak berpenghuni atau menetap bersama saya di Cyberjaya agar tiada persoalan dia tidak mampu menjaga anak-anak kerana itu dan ini.

"Tetapi dia tidak mahu mendengar nasihat saya yang jujur dan bersetuju dengan Gavin memberi lelaki itu menjaga anak-anak mereka.

"Katanya (Serina), 'Saya akan pastikan anak-anak mendapatkan segala pendidikan agama selain saya menjaga mereka di siang hari dan malam mereka tidur dengan ayahnya'.

"Tetapi saya tegaskan pada Serina, hak penjagaan sangat penting dan dia perlu mengambil hak itu sebagai ibu," katanya.

Chef Wan menambah, beliau buntu, namun menyifatkan sudah menjalankan tanggungjawab sebagai bapa sehabis baik dengan menasihati anak perempuannya itu.

Katanya lagi, beliau agak marah dengan keputusan Serina sehingga membuatkan dirinya tidak tidur malam.

"Saya beritahu Serina, 'Jangan pada esok hari kamu menyesal kerana tidak melakukan perkara ini (menuntut hak jagaan anak) sejak awal lagi'.

"Bukannya saya tidak berkemampuan untuk membantu dia. Saya kesal dengan keputusannya. Saya terlalu marah sehingga tidak boleh tidur malam memikirkan perkara ini," ujarnya.

218 dibaca
Berita Harian X