Selasa, 1 Ogos 2017 | 3:35pm
ANZALNA Nasir.- Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Tunggu kenyataan Afifah pula - kakak

KUALA LUMPUR: Ketika pelakon kontroversi, Afifah Nasir, masih berdiam diri berhubung isu yang turut membabitkan penyanyi Aliff Aziz, kakaknya, Anzalna, tampil memohon maaf atas komen pedasnya sebelum ini.

Ketika insiden Aliff dikatakan mengasari isteri, Bella Astillah, dalam kejadian yang turut mengaitkan bakat baharu terbabit, hangat diperkatakan, Anzalna memuat naik status yang seolah-olah mengatakan isteri kepada artis kelahiran Singapura itu 'meroyan' kerana baru lepas bersalin.

Rentetan komennya itu, pelakon drama Dendam Aurora berkenaan turut menerima kecaman teruk daripada netizen sehingga memaksanya menutup ruangan komen di Instagram.

"Saya ingin memohon maaf atas keterlanjuran kata kepada semua pihak, termasuk kepada pihak sana (merujuk kepada Bella dan keluarganya).

"Saya berharap, selepas ini semua pihak boleh sabar menantikan sendiri kenyataan daripada adik saya," kata Anzalna kepada BH Online.

Menurut pelakon berkenaan lagi, beliau mengeluarkan komen yang dilihat begitu pedas itu selepas menerima provokasi daripada netizen dan mereka yang mengikuti Instagramnya.

Empat hari lalu, Anzalna memuat naik gambar patung dan kereta polis dengan keterangan memohon pihak luar bersabar dan biarlah insiden yang turut membabitkan adiknya itu disiasat terlebih dulu.

Menerusi keterangan gambar itu juga Anzalna menulis, jika adiknya bersalah, maka Afifah harus bertaubat dan meminta maaf.

"Namun, ramai yang mengeluarkan kata-kata kurang manis dan biadap di ruang komen di bawah gambar itu. Pastinya sebagai manusia biasa, siapa yang gembira apabila membaca komen negatif?

"Lantas, ia menimbulkan kemarahan dan provokasi. Dalam situasi itu, tanpa diduga keluar komen yang tidak sepatutnya daripada mulut saya.

Sebab itu saya tutup ruangan komen di Instagram buat masa ini, bukan kerana takut tetapi supaya tidak terus larut dengan hal yang terjadi," katanya.

Kata Anzalna lagi, beliau tidak menyebelahi sesiapa. Malah, turut gembira apabila mendapat tahu Aliff dan Bella tetap bersama demi anak yang baru lahir.

"Tak rasa sedih dicaci, tak juga mahu menagih untuk dipuji. Setiap manusia tidak pernah lari daripada membuat kesilapan. Allah takkan mensia-siakan orang yang bersabar dan reda dengan setiap ujian-Nya. Amat rugilah juga seseorang itu apabila Allah menghadirkan ujian kepadanya, tetapi dia masih di takuk sama.

"Mengeluh tak berkesudahan, menyalahkan itu dan ini takkan membawa kita ke mana-mana. Semoga Allah permudahkan urusan kami," katanya.

Semalam, pada sidang media di Shah Alam, Aliff mengaku beliau keluar dengan Afifah selepas sama-sama terbabit dalam penggambaran drama, Izinkan Aku Mencintaimu.

Aliff turut memohon maaf kepada isteri, keluarga dan peminat secara terbuka atas isu itu.

Pada sidang media itu juga, Aliff berharap Afifah berani mendedahkan hal sebenar seperti yang dilakukannya.

Berita Harian X