Khamis, 3 Ogos 2017 | 3:07pm
PELAKON, Nonny Nadirah. - Foto Instagram

Nonny Nadirah tunggu kekasih masuk meminang

KUALA LUMPUR: Pelakon, Nonny Nadirah, mengaku berkawan baik dengan seorang kakitangan sebuah stesen televisyen terkenal sejak lapan tahun lalu.

Bekas bintang Akademi Fantasia musim kelima itu berkata, mereka juga pernah membicarakan soal jodoh walaupun dirinya sendiri tidak mahu terlalu berharap dalam soal itu.

"Walaupun hubungan kami sudah lama, iaitu sejak 2009, nama macam biasa ada juga masanya ia terputus sebelum bersambung kembali.

"Kalau sudah jodoh, ia tidak ke mana. Namun sebagai wanita, saya enggan terlalu mengharap dalam hal membabitkan hati dan perasaan. Memang kami ada juga berbincang mengenai masa depan, namun semuanya belum ada kepastian. Bimbang juga jika ada apa-apa berlaku pada masa akan datang.

"Saya tunggu sajalah dia masuk meminang. Malah, sesekali saya pernah berseloroh dengannya, jangan lambat nanti dikebas orang," katanya.

Nonny, 28, berkata demikian ketika mengulas gambar beliau bersama seorang lelaki, yang dipercayai teman istimewanya, seperti dikongsi oleh pelakon itu di laman sosialnya, baru-baru ini.

Gambar terbabit, yang menyembunyikan wajah lelaki itu dengan simbol cinta, menyaksikan ucapan hari lahir daripada si jejaka buat Nonny sempena ulang tahunnya pada 21 Julai lalu. Nonny bagaimanapun sudah pun memadamkan gambar terbabit daripada laman sosialnya.

Lelaki itu antara lain menulis, tahun ini diharap menjadi detik terbaik buat Nonny selain memohon maaf kerana tidak dapat membuat kejutan istimewa hari lahir kerana kesibukan kerja serta kekangan masa.

Ia diikuti dengan tanda pagar seperti 'Partner In Crime', 'Doakan Kami' dan 'Insya-Allah This Year'. Tanda pagar terakhir itu juga bagai memberi isyarat hari bahagia mereka bakal tiba.

"Terkejut juga dia meletakkan keterangan gambar sebegitu rupa," kata Nonny sambil ketawa kecil ketika dihubungi hari ini.

Akui Nonny, ketika sambutan Syawal baru-baru ini, persoalan mengenai rumah tangga turut dibangkitkan keluarga sewaktu beliau pulang beraya di Sabah.

"Mama pun ada bertanya soal kahwin. Begitu juga sanak-saudara yang tidak lepas menanyakan soalan cepu emas berkenaan. Tetapi saya tidaklah berasa tertekan dengan semua itu," katanya.

Berita Harian X