Rabu, 16 Ogos 2017 | 11:06pm
AJAI dan Saharul bergabung dalam lagu Buku Putih.

Saharul Ridzwan jadi rapper

SEDAR persaingan dalam industri hiburan cukup sengit, ramai artis mencabar diri mencuba bidang baharu.

Lihat saja dunia radio apabila semakin ramai pelawak menjadi penyampai atau deejay hingga populariti mencanak.

Terbaharu, pelakon sasa, Saharul Ridzwan, terjun dalam dunia muzik apabila merakamkan single berjudul Buku Putih bersama Ajai.

Apa yang lebih menarik, Saharul menyanyikan bahagian rap persis pelawak, Zizan Razak, yang terlebih dahulu tampil sebagai rapper.

Tambah menarik, single Buku Putih, yang liriknya dihasilkan bersama Ajai, tercalon dalam program Muzik Muzik 32.

"Lima bulan lalu, saya berseloroh dengan Kak Liza (isteri Ajai). Saya beritahu, suruhlah abang Ajai buat lagu, saya nak menyanyi rap.

"Tak sangka pula, Kak Liza betul-betul beritahu suaminya," katanya yang menganggap peluang merakamkan single itu sebagai rezeki terpijak.


LAGU Putih yang dihasilkan Ajai dan Saharul tercalon dalam program Muzik Muzik 32.

Akui Saharul, dia bukan penyanyi profesional dan tidak pandai menyanyi ikut melodi.

"Saya tahu tonasi suara tidak sampai hingga boleh menyanyi lagu secara penuh. Nyanyi rap bolehlah," katanya.

Bercerita mengenai kehidupan rumah tangganya, pelakon yang meledak melalui drama Hati Perempuan itu mengakui, perkahwinan membuka dimensi baharu buatnya.

"Sebagai suami dan bapa, saya adalah ketua keluarga. Jadi, saya lebih banyak berfikir di luar kotak.

"Malah, fokus saya bukan lagi kepada lakonan semata-mata. Ada cabang rezeki lain yang saya tak terfikir dulu, kini mula mendatangkan sumber pendapatan. Ruang rezeki Allah beri ini terlalu besar.

"Betullah orang selalu cakap apabila berkeluarga, pintu rezeki itu dibuka luas," katanya yang memperisterikan Qaabila Deena Emir dan memperoleh cahaya mata diberi nama Muhammad Luth Ali.


SAHARUL berkahwin dengan Qaabila Deena Emir pada 16 September tahun lalu. - Foto ihsan pembaca

Jika disoroti perjalanan seni jejaka ini, karier Saharul memuncak lebih awal berbanding dua teman seperjuangan iaitu Fattah Amin dan Syafiq Kyle.

Mengenali Fattah dan Syafiq ketika bersaing di pentas Hero Remaja Edisi 2011, Saharul lebih dahulu terjun dalam dunia seni biarpun dalam program pencarian jejaka terhangat itu, dia mendapat tempat ketiga di belakang Fattah dan Syafiq.

Asam garam dunia seni, ada kalanya di atas, tiba masanya jatuh ke bawah, Fattah sekarang dilihat lebih menonjol.

Drama lakonannya seperti Suri Hati Mr Pilot dan Hero Seorang Cinderella 'meledak' hingga mencetuskan fenomena.

Syafiq juga kini semakin menyerlah dan kerap muncul dalam drama, selain aktif dalam media sosial.

Dek fasa suram yang melingkari kerjaya Saharul, ada yang mengandaikan statusnya sebagai suami dan bapa penyebab dia kini tidak menonjol dan populariti mula merudum.

Tampil menjelaskan perkara itu, Saharul atau nama sebenarnya, Mohd Saharul Ridzwan Hashim berkata, semuanya berbalik kepada rezeki dan putaran dunia seni.

"Saya anggap perkara ini berbalik kepada soal putaran dalam dunia seni. Namun, saya tak anggap status jadi punca.

"Saya percaya semua ini berbalik kepada soal rezeki, tak timbul soal tergugat atau sebagainya. Saya pernah melalui fasa sama seperti apa yang Fattah dan Syafiq lalui sekarang. Kini, giliran mereka pula.


PELAKON sasa, Saharul atau nama sebenarnya, Mohd Saharul Ridzwan Hashim. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

"Industri hiburan akan bersilih ganti dengan bakat baharu. Apa yang lebih penting adalah mengekalkan momentum sebagai pelakon. Enam tahun berada di liga seni juga masih membuka ruang untuk saya terus belajar.

"Ini senario biasa yang pasti memeriahkan lagi industri seni. Namun, saya lihat, usaha untuk terus relevan itu penting," katanya.

Berkongsi cerita, Saharul memberitahu beliau ada bertemu Syafiq, baru-baru ini.

"Saya ucap tahniah kepada Syafiq. Kami sempat berborak lama. Alhamdulillah, nama dia sedang mencanak naik. Saya tumpang bangga.

"Lakonan Syafiq juga bagus. Saya harap suatu hari nanti, kami dapat bekerjasama dalam projek drama," katanya.

Biarpun sudah menceburi dunia muzik, tidak bererti bidang lakonan akan ditinggalkan Saharul.

"Lakonan sudah menjadi suatu bentuk keghairahan dan semangat buat saya. Beberapa hari lagi, saya akan memulakan penggambaran sebuah telefilem untuk TV3. Ini diikuti dengan dua drama rantaian, termasuk dengan produksi milik Sheila Rusly.

"Insya-Allah, pada akhir November depan, ada tawaran berlakon filem menanti," katanya yang sedang mempromosikan perniagaan serunding.

Pada akhir perbualan, Saharul mendedahkan yang beliau sepatutnya membintangi sebuah filem yang memerlukannya mengurangkan berat badan.

"Tapi tak jadi pula. Kenalah saya 'membesarkan' semula tubuh," katanya yang gemar bersenam di gimnasium.


SAHARUL mengakui dia bukan penyanyi profesional dan tidak pandai menyanyi ikut melodi. - Foto Saifullizan Tamadi

INFO

  • Berkahwin dengan Qaabila Deena Emir pada 16 September tahun lalu.
  • Putera sulung, Muhammad Luth Ali, dilahirkan pada 6 Jun lalu, melengkapkan hidup Saharul dan isterinya.
  • Merangkul trofi Aktor Pilihan dan Pasangan Pilihan bersama Janna Nick pada Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2016).
Berita Harian X