Ahad, 20 Ogos 2017 | 1:04pm
Daler Yusuf

Daler Yusuf serik dengan kontroversi

KUALA LUMPUR: Kontroversi rakaman video yang antara lain memaparkan dirinya terpegang bahagian dada Nelydia Senrose ketika membonceng motosikal ditunggang aktres jelita itu, cukup membuatkan jejaka berdarah kacukan Melayu-Uzbekistan ini, serik.

Akui Daler Yusuf, aksi dirakamkan ketika mereka menjalani penggambaran drama Encik Suami Mat Salih Celup yang pantas dikongsi netizen, menjadi pengajaran berharga buat dirinya.

"Saya cukup tertekan pada hari pertama rakaman video itu viral. Insiden itu tidak disengajakan malah itulah pertama kali saya membonceng motosikal.

"Selepas insiden itu, saya ajar diri ini agar lebih berhati-hati sebelum berbuat sesuatu. Ada hikmahnya. Sekarang, saya sudah tak mahu fikirkan lagi kontroversi itu," katanya kepada BH Online.

Mula menetap di Malaysia sejak lima tahun lalu bagi mengikuti kursus perniagaan di sebuah kolej di Subang, rezeki Daler dalam bidang seni makin murah. Ketika ini, Daler sedang sibuk di lokasi penggambaran drama slot Akasia TV3 berjudul Titian Cinta bersama-sama Zul Ariffin.

Enggan diberi watak stereotaip kerana berdarah campuran, Daler berusaha melancarkan penguasaan bahasa Melayu.

"Saya tidak mahu isu saya kurang fasih berbahasa Melayu menjadi alasan diberi watak darah campuran atau karakter pemuda asing.

"Kalau boleh, saya nak bawa watak lelaki Melayu. Jadi saya kena lancarkan bahasa Melayu. Lihat Juliana Evans dan Siti Saleha, mereka diterima baik kerana fasih bertutur bahasa Melayu," katanya.

20 dibaca
Berita Harian X