Ahad, 20 Ogos 2017 | 9:18pm
AKTRES jelita, Hanez Suraya.

Hanez Suraya tinggalkan dunia glamor

MENGHORMATI permintaan suami, aktres jelita, Hanez Suraya meletakkan noktah pada perjalanan karier seninya, bulan lalu.

Hanez yang lebih sedekad berkecimpung dalam dunia lakonan, akur kehendak suami, Romie Razin Adilha Abdul Jais, 37, yang mahu dirinya memberi tumpuan terhadap keluarga. Apatah lagi, mereka dikurniakan cahaya mata sulung, Putri Aleesya yang berusia setahun lapan bulan.

Mengikut kehendak suami apatah lagi mahu menjadi isteri taat, Hanez melihat ada wajarnya keputusan itu diambil.

Akui Hanez, keputusannya meninggalkan dunia glamor adalah demi menjaga keharmonian rumah tangganya yang dibina sejak Mac 2015.

"Saya sayangkan rumah tangga ini. Jadi, saya ikut saja kehendak suami.

"Jadi jika suami tak izinkan (berlakon), lebih baik saya jangan buat. Suami saya bukan dalam kalangan orang industri.

"Dia takkan faham jadual kerja dan bagaimana penggambaran dibuat. Kalau saya berlakon dan dia pula sibuk dengan kerjanya, bila masanya kami dapat bersama apatah lagi sejak ada anak.

"Jadi, saya ikut kehendaknya... Sebagai isteri, saya kena taat pada suami," katanya.


HANEZ bersama suamiya.

Namun, tambah Hanez, Romie masih bertolak ansur dengan membenarkan dirinya melakukan kegiatan lain.

"Suami izinkan saya melakukan kerja lain untuk menjana sumber pendapatan lain. Akhirnya, dia izinkan saya berniaga tudung dan masih belajar menjual produk," katanya yang mengusahakan tudung petak jenama Everyday KL.

Dekatkan diri dengan usahawan

Bercerita lanjut mengenai perniagaannya, Hanez mengaku pada mulanya dia tidak yakin dengan potensi dirinya menjadi usahawan.

"Sebagai langkah awal, saya dekatkan diri dengan kawan-kawan yang menceburi perniagaan.

"Alhamdulillah, sebaik saja ada modal lebih, saya ulang tempahan tudung untuk dijual. Pengikut tudung di laman sosial pun semakin bertambah. Sambutan sangat menggalakkan dan menyuntik semangat untuk saya terus mengembangkan perniagaan," katanya.

Hanez berkata, ada teman-teman yang skeptikal apabila dia menyuarakan hasrat menjual tudung.

"Sebelum ini, ada yang bertanya kenapa jual tudung. Ini kerana ramai artis sudah melakukan perkara sama.

"Tak kurang juga ketika mula bertudung, ada yang menyangka saya berhijab kerana mahu menjual tudung. Sebenarnya, saya tidak pernah terlintas mahu menjual tudung.

"Selepas tiga tahun bertudung barulah saya ceburi perniagaan ini," katanya.


HANEZ, mengakui keputusannya meninggalkan dunia glamor adalah demi menjaga keharmonian rumah tangganya.

Mengenai jenama Everyday KL, Hanez menganggap ia cukup simbolik.

"Jenama itu jelas menunjukkan nama itu boleh dipakai hari-hari. Ketika mula mengenakan tudung petak, kawan-kawan mula memuji," katanya yang semakin langsing.

Nekad dengan keputusan diambil meninggalkan dunia seni yang penuh pancaroba, Hanez menganggap ia keputusan terbaik bagi mengelak timbul cerita kurang enak hingga rumah tangga berantakan.

Bagi Hanez, jika masih boleh mengambil langkah pencegahan, mengapa tidak sekarang.

Biarpun sesekali bergelut dengan perasaan rindukan dunia lakonan, wanita berusia 32 tahun ini percaya pengorbanan yang dibuat ada hikmah tersendiri.

"Soal restu suami ini bagi saya cukup subjektif, bukanlah nak kata apa. Semuanya berbalik kepada rezeki masing-masing.

"Apa yang saya nyatakan adalah pendapat sendiri. Benar ada yang menyebut, kerjaya lakonan sudah menjadi minat, jadi mengapa perlu dihalang suami.

"Saya percaya, dalam hal ini, kita boleh berbincang dengan baik. Jika suami izinkan berlakon, okay. Tapi kalau tak diizinkan, sebaiknya jangan teruskan. Nanti timbul pula pelbagai isu dalam hubungan suami isteri," katanya.

Hanez mengaku ada teman-teman hairan mengapa Romie tidak boleh memahami minat dirinya dalam bidang lakonan.

"Namun, saya percaya, semuanya berbalik kepada putaran masa. Sebelum berkahwin, saya boleh buat apa saja.... Nak balik rumah tak balik, semuanya tak jadi isu.

"Tapi kalau sudah berkahwin dan kena bekerja di luar kawasan, suami pula kena tinggal di rumah. Dalam situasi ini, apa saja kemungkinan boleh terjadi dan mengundang bahaya," katanya.

Dalam konteks ini, Hanez tidak menolak sebarang kemungkinan yang boleh berlaku dengan pelakon gandingan di set penggambaran.

"Kalau kita dapat gandingan yang dirasakan 'sesuatu' (melalui perlakuannya), tak mustahil akan berlakulah 'sesuatu'. Saya tak nak mengiya atau menidakkan kemungkinan seperti itu.

"Namun, ini hanyalah pendapat saya sendiri," katanya.


HANEZ ditemubual wartawan ketika menghadiri KL Fashion Week.

Info

  • Mula mencuri tumpuan melalui watak antagonis dalam drama Love You Mr Arrogant.
  • Hanez mendirikan rumah tangga dengan Romie pada Mac 2015 dan dikurniakan seorang puteri.
  • Mempunyai dua anak tiri daripada perkahwinan terdahulu suami.
  • Giat mempromosikan perniagaan tudung petak yang boleh dilihat pada laman Instagram @everyday_kl.

Berita Harian X