Rabu, 23 Ogos 2017 | 3:14pm
PENYANYI, Atilia (tengah) menunjukkan album baru pada majlis Pelancaran Album No. 3 Atilia di Alexis, Great Eastern Mall, Jalan Ampang. - Foto Aswadi Alias
PENYANYI, Atilia Haron menyanyikan beberapa buah lagu barunya pada majlis Pelancaran Album No. 3 Atilia di Alexis, Great Eastern Mall, Jalan Ampang. - Foto Aswadi Alias

Atilia ambil masa siapkan album ketiga

KUALA LUMPUR: Selepas hampir tujuh tahun, penyanyi, Atilia, muncul dengan album ketiga yang mula memasuki pasaran pada 1 September depan.

Sebelum ini, anak kepada penyanyi berpengalaman, Salamiah Hassan, itu pernah hadir dengan album berjudul Sangkar pada 2007 dan Indah (2010).

Memilih judul No 3, album terbabit dilihat sebagai bukti perjuangan Atilia dalam dunia seni suara dan kecintaannya pada bidang nyanyian yang tidak pernah pudar.

"Angka 3 yang digunakan sebagai judul album ini boleh dianggap simbolik kepada jumlah album pernah saya keluarkan dan secara kebetulan, ia juga memakan masa hampir tiga tahun untuk disiapkan.

"Album ini memang mengambil masa agak lama untuk direalisasikan. Begitupun, saya juga tidak terburu-buru untuk menyiapkannya. Ditambah pula dengan jadual padat saya memenuhi jemputan nyanyian korporat dan sebagai guru yoga.

"Menerusi produk baharu ini, saya memilih untuk memuatkan sembilan lagu iaitu tujuh karya berbahasa Melayu dan selebihnya bahasa Inggeris. Saya turut bertindak sebagai penerbit eksekutif untuk album ini," katanya.

Menurutnya, Jason Voo yang pernah menerbitkan album pertama beliau kini kembali berkongsi ilham rasa untuk produk ini, selain Tok Khon dan Adam Sufian.

Menerusi album ketiga ini, Atilia mempertaruhkan single pertama berjudul BahagiaKu yang ditulis sepenuhnya oleh komposer Indonesia, Choky Naninggolan.

"Saya turut berduet dengan Adibah Noor menerusi lagu Sandaranku dan Segalanya di samping Lokman Aslam," katanya sambil memberitahu, album berkenaan adalah hasil kerjasama Mujik Production Sdn Bhd dengan Warner Music.

Proses rakaman album ini dibuat di Bsync Studio Malaysia dan juga Real World Studios, United Kingdom.

Berita Harian X