Isnin, 4 September 2017 | 10:03pm
ATILIA menunjukkan album baharu pada majlis Pelancaran Album No. 3 Atilia di Kuala Lumpur. - Foto Aswadi Alias

Atilia ambil risiko lancar album

DI Malaysia, jika anda bukan penyanyi nama besar seperti Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Sheila Majid atau Dayang Nurfaizah, langkah merakamkan album penuh jika silap percaturan, boleh menjadi sia-sia dan tidak berbaloi.

Ketika era industri rakaman di seluruh dunia merudum dengan penjualan produk secara digital menguasai pasaran, ramai penyanyi tempatan lebih cenderung merakamkan single bagi meneruskan kelangsungan karier.

Namun, bagi Atilia, dia tidak kisah andai buah tangan terbaharunya, album penuh berjudul No 3, tidak mencapai sasaran jualan.

Berani mengambil risiko, Atilia yang juga anak kepada penyanyi veteran, Salamiah Hassan sanggup menjual sendiri cakera padat (CD) yang dihasilkan melalui kelas yoga kendaliannya.

Selain itu, Atilia sedia menerima pesanan peminat secara pos bagi melariskan album yang menelan kos hampir RM100,000 itu.

"Saya suka album fizikal... Saya hargai seni sebegitu rupa. Saya suka rakamkan album kerana ia suatu perjalanan yang suci.


ATILIA (tengah) pada majlis Pelancaran Album No. 3 Atilia di Kuala Lumpur. - Foto Aswadi Alias

"Apabila kita merakamkan album, kita nampak susur galur proses itu daripada lagu pertama hingga akhir," katanya berbicara mengenai album No 3 yang dilancarkan di ibu negara, baru-baru ini.

Atilia berpendapat, penghasilan single tidak berbaloi. Ini kerana kos dan masa bagi menghasilkan produk itu tetap sama andai merakamkan album penuh.

"Jadi, alang-alang, biarlah dihasilkan album penuh. Misalnya, kalau mendengar album saya, setiap trek atau lagu ada sebab dan kesinambungannya.

"Setiap lagu umpama karya seni... Malah, secara falsafahnya, album itu sendiri itu bersifat seni," katanya.

Akui Atilia, dirinya mungkin boleh dianggap 'old school' kerana suka membelek album terutama sampul di dalamnya.

"Walaupun ada yang melihat tiada artis yang sanggup merakam album sekarang, saya tak peduli. Saya boleh jual di premis yoga atau pos sendiri.

"Malah, album ini juga boleh dibeli menerusi platform digital bagi mereka yang tidak mahukan album fizikal," katanya yang menyifatkan karyanya itu penuh warna.'


ATILIA tidak kisah andai album terbaharunya tidak mencapai sasaran jualan. - Foto Aswadi Alias

Studio pernah digunakan Alicia Keys

Atilia juga tidak kisah jika album yang dihasilkannya itu tidak dihargai. Baginya, cukuplah jika karya itu dihargai insan yang menyanjung tinggi nilai seni dalam lagu.

"Saya mementingkan kualiti dalam pembikinan album ini. Apa yang penting, album ini 'berbunyi' sedap... Sudah lama tak keluarkan album yang bunyinya sedap.

"Kalau dulu, orang boleh hargai album Ratu yang dihasilkan Datuk Sheila Majid dan album Gamal oleh Datuk Zainal Abidin. Orang boleh ingat sampai sekarang kerana kualiti bunyi muzik yang bagus.

"Begitulah yang saya mahukan untuk pembikinan album sendiri. Malah, album ini juga 'terbang' ke United Kingdom untuk proses pembikinannya.

"Lagu dirakamkan di studio sama yang pernah digunakan Alicia Keys, Sade dan Beyonce. Saya fikir album ini adalah produk yang patut dibanggakan. Bunyi muzik dalam album saya ini sudah lama tak kedengaran dalam album lain," katanya.

Atilia mengaku selepas merakamkan album Sangkar yang diterbitkan Roslan Aziz, dirinya menjadi peka kepada soal mutu.

"Saya lahir daripada produk Roslan yang mengajar saya pentingnya kualiti bunyi.

"Ini bermakna, tempoh tiga tahun merakamkan album ini ada sebabnya. Ini kerana saya mahu memastikan hasil terbaik mengikut piawaian yang saya dambakan," katanya.


ATILIA menyanyikan beberapa buah lagu baharunya pada majlis Pelancaran Album No. 3 Atilia di Kuala Lumpur. - Foto Aswadi Alias

Angka tiga bagai memberi signifikasi dan tuah tersendiri buat Atilia. Semuanya bagai diterjemah dalam judul albumnya, No 3.

Mengambil masa tiga tahun untuk dirakamkan, kebetulan, Atilia dan suami, Adam Sofian Mazlan juga meraikan ulang tahun ketiga perkahwinan mereka pada 31 Ogos lalu.

Malah, jika dilihat, Atilia sudah tiga kali merakamkan lagu dendangan ibunya. Lagu pertama yang dirakamkan adalah Gelombang melalui album terdahulu, Indah. Ini disusuli dengan dua lagi lagu iaitu Aku Curiga dan Cintaku Mengatasi Segalanya yang dimuatkan dalam album No 3.

"Mungkin semua ini secara kebetulan. Namun, siapa tahu angka tiga boleh membawa tuah dan rezeki kepada saya.

"Malah, kalau diizinkan, saya dan suami mahu tiga anak untuk melengkapi kehidupan ini," katanya pada sesi fotografi yang diadakan di Penthouse Hotel Berjaya Times Square di ibu negara.

Ditanya mengenai keistimewaan dua lagu milik ibunya yang dirakam semula, Atilia atau nama sebenarnya, Raja Putri Atilia Raja Haron mengaku dendangan itu ada tarikan tersendiri biarpun disampaikan mengikut interpretasi sendiri.

"Bagi saya, lagu yang baik tetap dianggap baik terutama dalam aspek melodi. Saya suka lagu yang melodinya sedap didengari, sekalipun lagu lama.

"Mama pernah beritahu, kalau bukan saya sendiri yang tak nyanyikan semula... siapa lagi? Mama tak menghalang saya menyanyikan semula lagunya.

"Saya pernah lihat mama tersentuh dan menangis kegembiraan apabila saya mendendangkan lagunya," katanya yang menganggap usaha merakamkan semula lagu ibunya itu sebagai suatu penghormatan buat wanita itu.

Atilia berkata, dia bertanya pencipta lagu Curiga iaitu Simon Justin Leo dan Freddie Fernandez yang menggubah lagu Cintaku Mengatasi Segalanya sebelum merakamkannya semula.

"Hanya selepas selesai semua proses itu, barulah saya maklumkan kepada Mama. Mama macam biasa akan okey saja. Tapi di sebalik semua itu, dia gembira dengan apa yang saya lakukan," katanya.

Info

  • Mempertaruhkan single pertama berjudul Bahagia Ku yang dihasilkan komposer Indonesia, Choky Naninggolan.
  • Berduet dengan Adibah Noor untuk lagu Sandaranku dan Segalanya bersama Lokman Aslam.
  • Album projek kerjasama Mujik Production Sdn Bhd dengan Warner Music itu mula dipasarkan 1 September lalu.
  • Proses rakaman album dilakukan di Bsync Studio Malaysia dan Real World Studios, United Kingdom.
  • Menjadi guru yoga di Yoga Want That I Want Studios di Petaling Jaya.
Berita Harian X